KUALA LUMPUR: Mengambil iktibar daripada kisah perpisahan beberapa selebriti yang sering menjadi perdebatan di media sosial, pelakon dan pelawak, Zulin Aziz memilih mengunci mulut mengenai punca perpisahannya dengan bekas suami, Farhan Norzaini.
Zulin atau Farah Azleenda Abdul Aziz, 37, bagaimanapun mengakui terkilan dengan tanggapan segelintir pihak yang melabel golongan artis sebagai mudah bercerai, sedangkan hakikatnya dia sendiri tidak pernah menginginkan perkara tersebut berlaku.
“Orang mudah bercakap, kenapa bercerai? Senang sahaja orang melabel artis ini bercerai seperti menukar baju.
“Tetapi mereka (netizen) tidak berada di tempat kami. Kami juga tidak berkongsi punca perceraian kerana tiada keperluan untuk berbuat demikian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program Raya Astro 2026 di sebuah hotel di ibu negara, semalam.
Menurutnya, keputusan untuk tidak mendedahkan punca perceraian dibuat selepas mengambil pengajaran daripada pengalaman individu lain yang berkongsi kisah perpisahan mereka secara terbuka.
“Saya selesa dengan keputusan untuk mengunci mulut selepas melihat pengalaman orang lain yang berkongsi kisah perceraian di media sosial. Saya ambil itu sebagai iktibar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zulin menegaskan perpisahan yang berlaku pada 18 Disember lalu dibuat secara baik dan dipersetujui kedua-dua pihak tanpa membuka aib sesiapa.
“Alhamdulillah, saya dan bekas suami berpisah secara baik. Hubungan kami dan keluarga juga masih baik.
“Kami tidak mahu berkongsi apa-apa mengenai punca perceraian, lebih-lebih lagi sekarang bulan Ramadan. Saya mahu menjaga silaturahim dan tidak mahu membuka aib sesiapa,” katanya.
Tambahnya, keputusan untuk berdiam diri juga dibuat sebagai tanda hormat kepada kedua-dua keluarga.
“Saya menghormati pihak bekas suami dan juga keluarga sendiri. Kami sudah berbincang dan bersetuju untuk tidak berkongsi apa-apa mengenai perkara ini,” jelasnya.
Mengulas mengenai kehidupannya selepas perceraian, Zulin mengakui kini sedang melalui fasa pemulihan sambil cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu.
Menurutnya, sebagai seorang pelawak, dia perlu sentiasa tampil ceria walaupun hakikatnya masih berdepan kesedihan.
“Saya kini berada dalam fasa pemulihan. Perlahan-lahan saya cuba menjalani kehidupan seperti biasa.
“Saya bergelak ketawa untuk menutup rasa sedih. Kerja saya juga memerlukan saya melawak, jadi biarlah kalau saya menangis di rumah sahaja.
“Cukuplah orang melihat yang indah-indah sahaja,” katanya.
Terdahulu, Zulin mendedahkan dia sah bercerai dengan Farhan pada 18 Disember tahun lalu selepas selesai menjalani tempoh idah.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2022.










