BUKIT MERTAJAM : Himpunan sempena Operasi Terjahan Rumah Anutan Haram yang dijadual berlangsung di hadapan Hospital Bukit Mertajam esok dibatalkan selepas penganjur, Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang (Surplus) dan pihak pengurusan Kuil Sri Dewi Muniswarar mengambil kata sepakat untuk berdamai.
Langkah perdamaian itu diambil selepas kedua-dua pihak hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk berbincang selama lebih setengah jam dengan disaksikan oleh Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Helmi Aris, pagi tadi.
Pengerusi Surplus, Sophian Mohd. Zain berkata, pihaknya bersetuju untuk tidak memanjangkan isu berkenaan kerana enggan mengeruhkan lagi keadaan memandangkan secara kebetulan juga, satu perayaan tahunan akan diadakan di kuil itu, esok.
“Kami pada mulanya bercadang untuk turun padang melihat keadaan sahaja selepas isu itu (kuil haram) ‘viral’ satu negara. Dalam hal ini, orang tak tahu macam mana keadaan apa yang berlaku di situ, apa bentuk gangguan dan sebagainya.
“Jadi, kita nak turun semata-mata untuk kita maklumkan kepada masyarakat. Namun, apabila isu ini ‘diviralkan’ di media sosial yang kononnya kita nak pergi buat perobohan kuil, maka, itu sama sekali tidak betul sebab kita cuma NGO dan kita tak ada kuasa,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Kelmarin, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail menasihatkan penganjur himpunan supaya tidak meneruskan agenda mereka dan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya himpunan itu berlaku selepas laporan polis mengenai perkara itu diterima.
Terdahulu, tular sebuah poster mengenai himpunan tersebut yang dipercayai mahu menarik sokongan awam bagi bertujuan menggesa pihak berkuasa untuk merobohkan kuil yang dibina di hadapan hospital berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Kuil Sri Dewi Muniswarar, M. Karthikesan juga tidak mahu isu yang sama dipanjangkan kerana kedua-dua pihak kini telah bersetuju untuk berdamai bagi mengekalkan keharmonian.
“Kami membincangkan perkara ini dengan tenang. Tidak ada sebarang mogok atau bantahan yang dirancang (oleh penganut Hindu) berhubung isu yang sama,” ujar beliau.-UTUSAN









