Op Middleman: SPRM sita, rampas dan beku akaun bernilai RM7.7 juta.

Op Middleman: SPRM sita, rampas dan beku akaun bernilai RM7.7 juta.

AZAM Baki (tiga kiri) menunjukkan barang sitaan Op Middleman pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM. - UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita aset dan membekukan akaun bernilai keseluruhan RM7.7 juta menerusi Op Middleman, baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, jumlah itu membabitkan wang tunai, kenderaan mewah, barang kemas dan pembekuan akaun bank milik individu dan syarikat.

Beliau berkata, antara disita termasuk 25 buah kenderaan mewah bernilai RM2.5 juta, barang kemas kira-kira RM40,000, 27 telefon bimbit dan 41 unit walkie-talkie yang digunakan untuk aktiviti berkenaan.

“Kami turut membekukan 59 akaun individu dan syarikat berjumlah RM4.7 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket berkenaan.

“Pada masa sama, kami turut mengesan transaksi rasuah berjumlah RM12.48 juta bagi tempoh antara 2021 hingga 2025,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, Ops Middleman dilaksanakan SPRM dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dimana ia menyasarkan orang tengah sebagai perantara yang menawarkan rasuah kepada pegawai penguat kuasa bagi membocorkan operasi penguatkuasaan.

Azam berkata, setakat ini, seramai 18 individu ditahan bagi membantu siasatan termasuk empat pegawai JPJ, empat anggota polis trafik, dua pemilik syarikat, tujuh tonto serta seorang individu awam yang dipercayai bertindak sebagai pemilik akaun keldai.

Menurutnya, siasatan terhadap tonto dijalankan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, manakala pegawai penguat kuasa JPJ pula disiasat mengikut Seksyen 17(a) akta sama kerana menerima suapan.

“Siasatan mendapati, sindiket tonto beroperasi dengan menawarkan rasuah kepada penguat kuasa bagi melindungi kegiatan lori yang melakukan pelbagai kesalahan jalan raya termasuk membawa muatan berlebihan,” katanya.

Katanya, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan akan melakukan operasi sama di seluruh negara bagi membanteras kegiatan itu.

Jelasnya lagi, pihaknya mahu rantaian rasuah dalam aktviti itu dihapuskan dan selagi ada orang tengah yang memudahkan bayaran rasuah, jenayah ini akan berterusan dan akhirnya menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN