Op Godfather: Seorang anak Tun Daim setuju bantu SPRM

Op Godfather: Seorang anak Tun Daim setuju bantu SPRM

AZAM Baki bercakap pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya. - UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang daripada empat anak Allahyarham Tun Daim Zainuddin bersetuju untuk membantu siasatan berhubung Op Godfather.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, anak lelaki Allahyarham, Md. Wira Dani, 48, telah menghubungi pihaknya baru-baru ini bagi membantu siasatan kes itu.

“Bagaimanapun, keberadaan tiga lagi anak bekas Menteri Kewangan itu masih belum diketahui. Setakat ini hanya seorang daripada anak Allahyarham Tun Daim telah menghubungi kami,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan mengeluarkan Notis Kesan Individu terhadap empat anak Daim selepas mereka gagal memberi maklum balas terhadap dua notis rasmi.

Azam berkata, SPRM mahu peguam bagi ketiga-tiga individu itu segera menghubungi mereka dan seterusnya hadir ke pejabat SPRM secepat mungkin.

Beliau berkata, ketika ini, siasatan Op Godfather itu turut melibatkan pengesanan harta dan aset di beberapa negara yang dipercayai bernilai berbilion ringgit.

“Kami mempunyai senarai harta-harta di beberapa negara. Saya tidak mahu menyebut negara-negara berkenaan dan juga jumlahnya, tetapi ia berbillion ringgit yang telah kami kesan,” katanya.

Katanya, Bahagian Operasi Khas SPRM kini sedang menjalinkan kerjasama dan perbincangan dengan pihak berkuasa negara-negara terlibat.

Jelasnya, segala tindakan yang diambil perlu mematuhi undang-undang negara terlibat menerusi kerjasama perundangan bersama atau Mutual Legal Assistance (MLA). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN