PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Bhd. (Northport), anak syarikat MMC Port Holdings Berhad (MMC Ports) dan ahli Kumpulan MMC menerima 37 unit prime mover baharu daripada Terberg Tractors Malaysia Sdn. Bhd.(Terberg).
Penyerahan itu merupakan kumpulan ketiga daripada keseluruhan 71 unit yang diperoleh daripada Terberg, mencerminkan komitmen Northport dalam mengoptimumkan produktiviti terminal dan mengukuhkan kebolehpercayaan perkhidmatan di seluruh operasinya.
Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Nik Muzani Nik Abdul Aziz berkata, perolehan prime mover baharu ini akan meningkatkan lagi kecekapan dan produktiviti operasi Northport, sekali gus membolehkan kumpulan untuk terus menyediakan perkhidmatan yang konsisten dan boleh dipercayai kepada pelanggan.
“Peralatan terminal baharu ini juga akan menyokong peningkatan kapasiti terminal kami serta menyumbang kepada pertumbuhan mampan dan pengembangan operasi pelabuhan pada masa hadapan.
“Jalinan kerjasama kami selama dua dekad bersama Northport telah dibina di atas
asas kepercayaan dan keyakinan yang kukuh.
“Penyerahan ini mencerminkan kekuatan kerjasama antara kedua-dua pihak, komitmen bersama terhadap kecemerlangan operasi serta keyakinan berterusan Northport terhadap sokongan Terberg,” katanya dalam kenyataan.
Nik Muzani berkata, penggantian dan penambahan jentera prime mover ini akan meningkatkan
kecekapan terminal dengan memastikan pergerakan kontena yang lebih lancar serta meningkatkan prestasi operasi kapal dan lapangan kontena.
“Dilengkapi dengan ciri- ciri canggih untuk menyokong kecemerlangan operasi, aset-aset ini sejajar dengan hala tuju strategik kami ke arah ‘Pemodenan dan Pendigitalan’ terminal,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MMC Port, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, perolehan terbaharu ini mengukuhkan komitmen Northport untuk beroperasi secara bertanggungjawab, cekap dan selamat.
“Penambahan prime mover moden dan cekap tenaga ini menyokong agenda MMC Ports untuk pelaksanaan teknologi mampan, meningkatkan integrasi digital dan memperkukuh aspek keselamatan di pelabuhan.
“Dengan pelaburan berterusan dalam aset yang boleh dipercayai serta keupayaan operasi pintar, Northport dapat memberikan standard perkhidmatan yang lebih baik kepada para pelanggannya sambil memacu misi jangka panjangnya untuk membangunkan ekosistem pelabuhan yang berdaya tahan, inovatif dan bersedia untuk masa hadapan,” katanya.
Prime mover baharu model YT220_4x2 dikuasakan oleh enjin berprestasi tinggi
Cummins dan direka untuk meningkatkan tahap kebolehpercayaan, kecekapan
penggunaan bahan api serta kestabilan operasi.
Dilengkapi sistem suspensi dan ciri keselamatan yang canggih, unit-unit ini akan ditempatkan di seluruh terminal untuk memudahkan pergerakan kontena antara dermaga, lapangan kontena dan fasiliti gudang.
Selain itu, Northport juga dijangka menerima tambahan 20 unit prime mover SINOTRUK yang baharu menjelang April 2026 sebagai sebahagian daripada program penambahan jentera terminal.
Dengan perolehan ini, jumlah keseluruhan jentera prime mover Northport akan meningkat
kepada 190 unit. – UTUSAN










