Nabila Razali penyanyi hebat, sudah uji kemampuan vokalnya - Brendan MFMF - Utusan Malaysia

Nabila Razali penyanyi hebat, sudah uji kemampuan vokalnya – Brendan MFMF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Komposer dan penerbit muzik, Brendan Lim menyifatkan kualiti vokal penyanyi popular, Nabila Razali memiliki daya tarikan tersendiri yang mampu memikat hati pendengar daripada pelbagai lapisan usia.

Walaupun wujud dakwaan segelintir pihak yang mempertikaikan kemampuan vokal penyanyi itu sebelum ini, menurut Brendan, beliau sendiri telah menyaksikan potensi sebenar suara penyanyi  itu sepanjang beberapa siri kerjasama mereka selama ini.

“Bagi saya,  pertikaian mengenai kualiti vokal itu tak berasas. Saya sudah bekerja dengan Bella sejak lagu Peluang Kedua lagi dan saya sendiri menguji tahap kemampuan vokalnya di studio.

“Bella sememangnya seorang penyanyi yang baik. Sebagai produser yang sering bekerjasama dengan ramai penyanyi, saya mempunyai pengalaman untuk menilai bakat seseorang. Saya berani katakan, Bella ialah seorang penyanyi yang hebat,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Tak Sabar Nak Raya, baru-baru ini.

Brendan yang juga anggota kumpulan MFMF berkata, adalah lumrah bagi mana-mana artis berdepan cabaran tertentu, khususnya ketika membuat persembahan secara langsung.

“Bella juga manusia biasa. Saya tahu ada banyak kritikan kononnya beliau tidak boleh menyanyi. Namun dalam dunia seni, setiap orang pasti melalui waktu sukar dan waktu gemilang. Itu lumrah kehidupan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Brendan menegaskan, kehebatan seseorang penyanyi tidak seharusnya dinilai berdasarkan aspek teknikal semata-mata seperti keluasan julat vokal.

Sebaliknya, jelasnya, elemen paling penting dalam sesebuah karya muzik ialah keikhlasan serta keupayaan penyanyi menterjemahkan emosi dan mesej lagu kepada pendengar.

“Bagi saya, apa yang menjadikan seseorang itu penyanyi hebat bukan terletak pada sejauh mana luasnya julat vokal mereka. Sebaliknya, ia bergantung kepada kemampuan menyampaikan mesej lagu dengan penuh keikhlasan.

“Keupayaan menjiwai karya dengan emosi yang tulen adalah kunci utama. Jika seseorang artis berjaya menghidupkan lagu yang dibawakan, pada saya, mereka sudah layak digelar penyanyi hebat,” katanya.

Terdahulu, Brendan pernah bekerjasama dengan Nabila menerusi lagu Peluang Kedua yang mencetus fenomena tersendiri. Mereka sekali lagi bergandingan menerusi single terbaharu, Tak Sabar Nak Raya bersempena sambutan Syawal tahun ini. — UTUSA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN