PUTRAJAYA: Sistem Pemantauan Pelan Pelaksanaan Dasar Rancangan Malaysia Ke-13 (MyRMK) yang dilancarkan hari ini akan diintegrasikan dengan dua platform lain bagi membolehkan pemantauan dibuat secara lebih menyeluruh, telus dan responsif.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, dua platform berkenaan termasuk MyProjek dan MyBelanjawan, manakala sistem MyRMK idibangunkan untuk menjejak kemajuan pelaksanaan, prestasi kewangan, pencapaian output serta isu-isu pelaksanaan merentas kementerian dan agensi.
“Pemantauan RMK13 tidak akan bergantung kepada sistem semata-mata, sebaliknya akan diperkukuh melalui lawatan tapak secara berkala dan libat urus bersama kementerian dan agensi bagi memastikan isu sebenar di lapangan dapat dikenalpasti dan ditangani dengan segera.
“Kita mahu kerajaan yang bukan sahaja membaca data, tetapi juga memahami realiti di lapangan. Data memberi isyarat, tetapi lapangan memberi realiti,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran MyRMK di sini hari ini.
Katanya, RMK13 bukan sekadar dokumen perancangan lima tahun, tetapi amanah pembangunan negara yang mesti diterjemahkan kepada tindakan, hasil dan manfaat yang dirasai rakyat.
Sebanyak RM430 bilion diperuntukkan membabitkan perbelanjaan pembangunan kerajaan untuk tempoh lima tahun, disokong oleh RM120 bilion daripada GLC dan GLIC serta RM61 bilion melalui projek Kerjasama Awam-Swasta (PPP), menjadikan keseluruhan komitmen pembangunan sebanyak RM611 bilion.
Bagi tahun 2026 sahaja, sebanyak RM81 bilion telah diperuntukkan di bawah bajet pembangunan.
Mengulas lanjut, Akmal berkata, skop pemantauan kerajaan bagi RMK13 ini merangkumi semua projek, sama ada berskala besar atau kecil, selagi ia memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.
“Tiada projek yang terlalu kecil untuk dipantau, dan tiada program yang terlalu besar untuk dinilai semula. Skala projek mungkin berbeza, tetapi nilai kepada rakyat tetap menjadi ukuran utama,” katanya.
Katanya, kejayaan RMK13 tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan jumlah peruntukan atau kadar perbelanjaan, tetapi pada sejauh mana rakyat dapat melihat perubahan dan menikmati hasil pembangunan dalam kehidupan seharian mereka. – UTUSAN










