MyKad jadi elemen keselamatan tambahan sah umur media sosial

MyKad jadi elemen keselamatan tambahan sah umur media sosial

Saman X
FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kad pengenalan MyKad akan digunakan sebagai elemen keselamatan tambahan untuk pengesahan identiti dan umur pengguna media sosial.

Ini kerana kanak-kanak bawah 16 tahun tidak dibenarkan memiliki media sosial, kecuali akaun yang dibuka dan dikendalikan oleh ibu bapa.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan sedang melaksanakan medan uji kawal selia atau regulatory sandbox bersama dengan platform media sosial untuk mengenakan sekatan umur 16 tahun bagi pendaftaran akaun baharu.

Katanya, pendekatan Malaysia berbeza daripada Model Age Assurance yang digunakan di Australia yang mana negara akan memanfaatkan perundangan khusus mengenai MyKad sebagai elemen keselamatan tambahan.

“Anak-anak masih dibenarkan menonton kandungan seperti di YouTube, cuma mereka tidak boleh membuka akaun sendiri.

“Isu utamanya ialah siapa yang mengawal akaun tersebut, kita tidak mahu anak-anak yang mengawal akaun itu sendiri. Kalau akaun itu dibuka oleh ibu bapa, sekurang-kurangnya mereka boleh tahu kalau ada individu yang tidak dikenali berhubung dengan anak mereka,” katanya dalam sidang akhbar Program Sejahtera Madani Kebajikan: Sumbangan Ihsan Kasih Ramadan 2026 di Masjid Al Khadijah, Pantai Dalam dekat sini semalam.

Fahmi berkata, tanggungjawab pemantauan terletak sepenuhnya kepada ibu bapa bagi memastikan anak mereka tidak terdedah kepada pelbagai risiko keselamatan dalam talian.

“Jika ibu bapa yang membuka dan mengendalikan akaun media sosial anak-anak mereka, itu dibenarkan.

“Namun, jika ibu bapa membuka akaun itu, maka ibu bapa juga perlu memastikan pemantauan sepenuhnya terhadap penggunaan akaun berkenaan,” katanya.

Katanya, media sosial tidak sepatutnya dijadikan sebagai pengganti peranan ibu bapa dalam menjaga anak-anak.

“Media sosial tidak boleh dijadikan sebagai peranti ‘pengasuh’ kepada kanak-kanak.

“Ibu bapa juga perlu berhati-hati supaya tidak berkongsi maklumat sensitif seperti alamat rumah atau maklumat peribadi lain yang boleh disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN