SUATU ketika dulu, kad raya fizikal digunakan secara meluas oleh kebanyakan masyarakat dalam menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri, malah turut menjadi medium ikatan ukhuwah dan silaturahim.
Menjelang ketibaan hari raya, kebanyakan pihak juga pastinya tidak sabar menantikan kehadiran posmen yang akan menghantar kad ucapan daripada adik beradik mahu pun sahabat serata seluruh negara.
Namun begitu, perkembangan teknologi masa kini membuatkan kad raya fizikal dianggap sebagai amalan lapuk malah ia juga tidak lagi diminati terutama oleh golongan muda yang lebih cenderung memilih media sosial untuk menzahirkan ucapan mereka.

Malah, kewujudan telefon pintar turut menjadi penyebab utama medium kiriman kad ucapan hari raya tidak lagi mendapat sambutan seperti mana suatu ketika dahulu.
Rentetan itu, bagi menghidupkan semula suasana penghasilan kad raya, satu inisiatif telah digerakkan oleh Pusat Sumber Sekolah bersama Panitia Pendidikan Seni dan Visual Sekolah Kebangsaan (SK) Putra, Kangar, Perlis bagi mengembalikan semula nostalgia berkenaan dalam kalangan murid-murid.

Menerusi inisiatif itu, seramai 230 murid tahap dua di SK Putra telah diberi pendedahan bagi pembuatan kad raya mengikut kreativiti masing-masing.
Guru penyelaras program, Hamisah Hashim, 42, berkata, pihak sekolah mengambil inisiatif melaksanakan program itu bagi memberi peluang kepada murid-murid merasai nostalgia pembuatan dan penghasilan kad raya yang semakin pupus pada masa kini.
“Kita mahu mengembalikan suasana menghasilkan kad raya khusus buat murid-murid agar mereka dapat menghidupkan kembali suasana ini yang pernah menjadi amalan pada suatu ketika dulu,” katanya.
Hamisah berkata, menerusi penganjuran itu, murid-murid diberi masa selama satu jam bagi menghasilkan kad raya berkenaan secara individu atau berkumpulan dengan menggunakan bahan-bahan mengikut kreativiti masing-masing.
Katanya, murid-murid juga dilihat menunjukkan keterujaan dan kesungguhan mereka dalam menghasilkan kad raya tersebut.
“Selain murid Melayu, terdapat juga murid India dan bangsa-bangsa lain turut sama dalam program ini bagi menghasilkan kad raya itu, sekali gus dapat memupuk nilai perpaduan dalam kalangan mereka,” katanya.
Ujar Hamisah, murid-murid juga dilihat bersemangat bagi menghasilkan kad raya apabila ada di antara mereka telah menyiapkan penghasilannya di rumah dengan bantuan ibu bapa.

Katanya, pelaksanaan program itu bukan sahaja dapat mengimbau nostalgia malah turut memberi pendedahan buat murid tentang amalan yang dinantikan masyarakat negara ini suatu ketika dulu semasa musim perayaan.
“Kalau zaman dulu menjelangnya raya, mesti ramai yang teruja menantikan ketibaan kad raya. Oleh sebab itulah kita mahu murid-murid dapat merasai kemeriahan suasana itu menerusi program ini,” katanya.
Dalam pada itu, seorang murid tahun lima SK Putra, N. Sentamil, 11, berkata, dia sememangnya teruja dapat membuat kad raya itu bersama rakan-rakan walaupun pernah menghasilkannya sebelum ini.
Katanya, dia dan rakan-rakannya turut menghias kad raya itu mengikut kreativiti mereka sendiri.

“Kami menggunakan bahan-bahan yang ada bagi menghias kad ini dan turut menulis ucapan bersempena dengan ketibaan hari raya nanti,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi murid tahun enam, Noor Akid Danish Noor Alhafiz, 12, berkata, dia membuat kad raya itu secara individu dan menggunakan tema berlatar belakang alam sekitar.
Katanya, dia turut memasukan elemen seperti ucapan dan lirik lagu raya bagi mencantikkan kad berkenaan. –UTUSAN










