MMU tawar bantuan pendidikan RM1.5 Juta kepada komuniti Cyberjaya  

MMU tawar bantuan pendidikan RM1.5 Juta kepada komuniti Cyberjaya  

TENGKU Amir Shah Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima replica cek daripada Dr. Mazliham Mohd Su’ud pada Majlis Berbuka Puasa Raja Muda Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1447H di Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Sejumlah RM1.5 juta bantuan pembiayaan pendidikan disediakan Universiti Multimedia (MMU) bagi membantu para pelajar mendapat akses pendidikan digital dan teknologi maklumat untuk keperluan pembangunan negara.

Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud berkata, inisiatif ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 200 anak-anak kariah Masjid Raja Haji Fisabilillah di sini yang mendaftar semasa pengambilan MMU 2026 pada peringkat Asasi dan Sarjana Muda.

Beliau berkata, bantuan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan MMU untuk menyokong pembangunan pendidikan dan kebajikan komuniti setempat.

“Dengan menyediakan akses kepada teknologi dan pendidikan yang berfokuskan digital, kami berharap dapat meringankan beban kewangan keluarga sambil menyediakan tenaga mahir muda untuk tuntutan masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima cek Bantuan Pembiayaan Pendidikan Anak Kariah Masjid Raja Haji Fisabilillah bernilai RM1.525 juta daripada Dr. Mazliham pada Majlis Berbuka Puasa Raja Muda Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1447H yang berlangsung di masjid berkenaan, semalam.

Pemohon untuk program Ijazah Sarjana Muda perlu mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK)  sekurang-kurangnya 3.5 pada peringkat Diploma/Matrikulasi/Asasi, dan akan menerima pengurangan yuran pengajian sebanyak 20 peratus untuk semua program MMU kecuali Undang-undang.

Bagi program Asasi pula, pemohon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan 9A dan 8A akan menikmati yuran percuma manakala mereka yang memperoleh 7A dan 6A dalam SPM akan menerima pengurangan yuran asas sebanyak 10 peratus.

Pemohon mestilah beragama Islam dan disahkan secara rasmi sebagai ahli kariah Cyberjaya oleh badan yang diberi kuasa seperti Jawatankuasa Masjid atau Penghulu.

Untuk maklumat lanjut, pemohon boleh menghubungi Unit Bursari MMU melalui [email protected]. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN