PETALING JAYA: Dua ahli Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Wangsa Maju diarah melepaskan jawatan serta-merta susulan video tular yang mengaitkan mereka dengan dakwaan meminta wang perlindungan daripada sebuah premis perniagaan.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Biro Politik parti yang berlangsung semalam.
Katanya, tindakan tersebut diambil bagi memberi ruang kepada siasatan polis selain membolehkan siasatan dalaman parti dijalankan secara menyeluruh.
“Biro Politik turut mengarahkan Jawatankuasa Disiplin PKR menjalankan siasatan terperinci dan laporan dijangka dikemukakan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menyarankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya memperketat pemantauan terhadap aktiviti pusat urut di kawasan Wangsa Maju bagi memastikan tiada pelanggaran peraturan, undang-undang atau syarat lesen.
Sebelum ini, tular satu video memaparkan dua individu berkenaan didakwa meminta wang perlindungan daripada sebuah premis perniagaan yang dipercayai beroperasi di ibu negara. – UTUSAN










