MIASK santuni komuniti pekak, ceramah guna bahasa isyarat

MIASK santuni komuniti pekak, ceramah guna bahasa isyarat

Masjid Imam Ash-Shafie KotaSAS (MIASK) mencipta kelainan apabila buat pertama kali menganjurkan ceramah Ramadan yang diterjemahkan menggunakan bahasa isyarat bagi memberi ruang kepada komuniti pekak mendalami pengisian agama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Masjid Imam Ash-Shafie KotaSAS (MIASK) mencipta kelainan apabila buat pertama kali menganjurkan ceramah Ramadan yang diterjemahkan menggunakan bahasa isyarat bagi memberi ruang kepada komuniti pekak mendalami pengisian agama.

Pengerusi MIASK, Izudin Muhamad Amin berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha masjid berkenaan untuk mendekati semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Katanya, komuniti pekak tidak seharusnya tercicir daripada peluang mendapatkan ilmu terutama sepanjang Ramadan yang penuh keberkatan.

“Menyantuni masyarakat termasuk komuniti pekak menjadi antara komponen penting aktiviti MIASK.

“Malah, MIASK juga mengadakan serta mengalu-alukan pembabitan kariah dari luar KotaSAS dan dari semasa ke semasa memang ada program melibatkan kariah setempat dan kariah luar,” katanya ketika berucap sempena program ceramah Ramadan itu.

Program tersebut menyaksikan kira-kira 40 individu komuniti pekak dari Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) dan Persatuan Orang Pekak Negeri Pahang (PADA) hadir mengikuti ceramah yang dibantu jurubahasa isyarat bagi memastikan penyampaian yang jelas.

Selain ceramah agama, kedua-dua pertubuhan berkenaan turut membuka gerai jualan bagi memperkenalkan produk termasuk buku Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) serta barangan lain kepada pengunjung.

Sementara itu, Imam 1 MIASK, Izalludin Mat Nor dalam ceramahnya menekankan kepentingan memanfaatkan Ramadan sebagai medan meningkatkan amal ibadah dan memperkukuh hubungan sesama insan.

“Gunakan kesempatan sepanjang Ramadan ini untuk beramal,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Norhisham Aluwi menghargai inisiatif masjid menyediakan pengisian agama mesra komuniti pekak dan berharap program seumpama itu diteruskan bagi memenuhi keperluan tersebut. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN