KUALA LUMPUR: Penyanyi, Khai Bahar, 32, menyifatkan lagu Hari Raya, Aku Rindu yang bakal diperdengarkan kepada peminat tidak lama sebagai sebuah single istimewa.
Kata Khai atau Muhammad Khairul Baharuddin, hal demikian kerana lagu berkenaan menggambarkan kerinduan kepada orang tuanya yang sudah tiada.
“Aku Rindu adalah sebuah lagu sedih. Tapi bukanlah nak mengajak pendengar bersedih, cuma mahu mengimbau semula kenangan bersama orang tersayang.
“Saya kehilangan ibu pada 2024 manakala ayah saya meninggal dunia tahun lepas. Jadi lagu ini untuk mengenang orang tersayang yang sudah tiada,” katanya.
Khai ditemui sempena majlis berbuka puasa bersama pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia, baru-baru ini.
Ditanya mengenai rakaman lagu tersebut, Khai memaklumkan prosesnya lancar dan selesai mengikut perancangan.
“Suasana ketika merakamkan lagu ini memang agak sayu. Tapi saya berjaya menahan rasa sedih itu.
“Memang saya sedikit emosi semasa menyanyikannya kerana lagu ini tentang kehilangan kita sayang, tapi tidaklah sampai terlalu sedih,” ujarnya. – UTUSAN










