Menangkis naratif penjajahan de facto di Pahang

Menangkis naratif penjajahan de facto di Pahang

PAHANG di bawah Sultan Ahmad I dan pemerintah kemudiannya adalah sebuah pemerintahan berdaulat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATIF sejarah konvensional sering melukiskan gambaran bahawa campur tangan residen British di Pahang pada tahun 1887 merupakan titik bermulanya penjajahan yang melenyapkan kuasa Kesultanan Melayu Pahang. Walau bagaimanapun, penelitian rapi terhadap rekod kolonial dan prinsip perundangan mendedahkan satu realiti yang berbeza.

Negeri Pahang, di bawah pemerintahan Sultan Ahmad I sehingga tahun 1957, tidak pernah dijajah secara de facto apatah lagi de jure. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah satu siri “respons intervensi terurus” dan “perundingan strategik” yang dilakukan oleh Sultan Ahmad I dan pengganti baginda yang didukung oleh para pembesar Melayu yang bijaksana untuk memacu modenisasi tanpa menggadaikan punca kuasa kedaulatan watan.

Artikel ini akan memfokuskan kepada aspek de facto kerana dokumen rasmi yang ada begitu jelas tersuluh menegaskan negeri Pahang tidak terjajah, malah raja pemerintahnya kekal berdaulat menjadi salah seorang pendiri Persekutuan Tanah Melayu.

Ramai sarjana meletakkan aspek penguasaan ekonomi sebagai bukti utama penjajahan secara de facto. Hujah balas yang mudah ialah adakah pelabur dalam syarikat Eropah dan kapitalis Cina di Pahang layak disenaraikan sebagai penjajah? Selain itu, bukti awal kebijaksanaan pengurusan ekonomi Sultan Ahmad I dapat diketahui melalui tindakan Sultan Ahmad memberikan konsesi perlombongan emas dan timah kepada kapitalis asing seperti dilaporkan oleh Linehan (1936), yang akhirnya mengundang campur tangan British.

Pada waktu itu, penerokaan pedalaman Pahang memerlukan biaya logistik serta pengurusan sumber manusia dan teknologi semasa. Sultan secara bijak membenarkan pelabur asing menanggung sepenuhnya risiko modal dan pengurusan. Jika perlombongan tersebut gagal, syarikat pelabur asing yang akan muflis, bukannya khazanah negeri. Baginda memastikan Negeri Pahang menerima pulangan “bersih” dalam bentuk royalti, ufti, atau cukai  tanpa perlu mengeluarkan biaya.

Pendekatan yang digunakan baginda adalah strategi pemindahan risiko yang berhemat. Polisi pelaburan dan pelombongan masih kekal diputuskan oleh baginda walaupun selepas Perjanjian Pahang 1887 ditandatangani yang membenarkan pelantikan residen British. Ini adalah bukti bahawa Sultan bertindak sebagai penguasa yang menentukan polisi ekonomi, bukan mangsa penguasaan ekonomi kapitalis, malah rakyat tempatan tidak pernah dihalang daripada turut melabur.

Apabila Pahang menyertai Negeri Melayu Bersekutu (FMS) pada tahun 1895, naratif ilmu kolonial sering menonjolkan kehilangan kawalan kewangan negeri. Namun, analisis terhadap rekod FMS (Year Book & Manual of Statistics 1932) menunjukkan satu bentuk “pencaturan ekonomi” yang unik. Pahang pada waktu itu memiliki hasil yang rendah, namun memerlukan pembangunan infrastruktur yang pesat.

Pahang berjaya memanfaatkan penyertaannya dalam Negeri Melayu Bersekutu. Dalam tempoh 1895 hingga 1932, catatan perbelanjaan negeri Pahang mengatasi kutipan hasil pendapatannya melainkan bagi tahun 1902, 1916, 1917, 1924, 1925 dan 1926 sahaja. Ini bermaksud pembangunan infrastruktur dan lain-lain kemudahan turut dibiayai oleh negeri Perak dan Selangor.

Dari sudut perakaunan kerajaan, British sebenarnya telah “membayar” hak untuk memberikan nasihat dengaN membangunkan aset fizikal kekal yang akhirnya menjadi milik mutlak Negeri Pahang. Sultan dan pembesar Pahang secara efektif telah “mengemudikan” dana luar untuk membina negeri, satu langkah yang amat pragmatik bagi sebuah negeri yang luas namun kurang berpenduduk pada ketika itu.

Kedudukan Sultan Pahang sebagai pemerintah berdaulat tidak pernah terhapus

Hujah yang paling ampuh menafikan penjajahan de facto terletak pada prinsip perundangan. Sepanjang tempoh 1887 hingga 1957, kedudukan Sultan Pahang sebagai pemerintah berdaulat tidak pernah terhapus. Sebagaimana yang dibuktikan dalam prinsip undang-undang yang kemudiannya diperkukuhkan dalam kes Mahkamah seperti Re: The Will of Yap Kim Seng [1924] dan Chulas lawan Kalson binte Seydo Malim [1867], undang-undang British tidak pernah diperkenalkan sebagai undang-undang tempatan. Apa yang berlaku hanyalah penerimaan prinsip Common Law dan kaedah ekuiti England yang terpakai secara terpilih dan sentiasa tertakluk kepada keadaan tempatan termasuklah adat Melayu.

Fungsi Majlis Negeri Pahang juga merupakan bukti keterpeliharaan kedaulatan watan. Setiap enakmen yang dicadangkan oleh residen British mestilah dibentangkan dalam Majlis tersebut, kemudian dibincangkan, dan akhirnya perlu mendapat perkenan Sultan melalui tandatangan baginda. Tidak semestinya nasihat British itu boleh dianggap bercanggah dengan prinsip perundangan Islam dan adat Melayu. Tanpa perkenan ini, sesuatu undang-undang dan polisi tidak mempunyai keabsahan di bumi Pahang.

British tidak mentadbir secara mutlak meskipun sistem penasihatan termaktub dalam Perjanjian Pahang 1887 jauh sekali untuk memerintah; secara amalan, mereka perlu berunding dan kadangkala melakukan strategi tarik tali dengan pihak istana bagi memastikan polisi yang dinasihati dapat dilaksanakan. Ini menunjukkan bahawa birokrasi British hanyalah berfungsi sebagai “jurutera pentadbiran” yang bekerja di bawah payung kedaulatan Sultan meskipun mereka mempunyai agenda untuk memonopoli ekonomi tempatan sekaligus menundukkan persaingan dengan kuasa asing yang lain di Tanah Melayu.

Kehadiran birokrasi British juga harus dilihat sebagai proses pematangan modal insan. Walaupun jawatan pentadbiran penting pada awalnya turut dipegang oleh pegawai British atas faktor modenisasi dan kepakaran teknikal moden, jawatan menteri besar dan pembesar tempatan tidak pernah dilenyapkan. Pembesar Melayu yang menerima imbuhan tetap bulanan hasil daripada pemusatan cukai bukanlah “penerima rasuah”, tetapi pegawai kerajaan yang berpindah daripada sistem ufti yang tidak menentu kepada sistem penggajian moden yang lebih stabil.

Naratif penjajahan de facto di Pahang merupakan kesalahan tafsir sejarah

Menjelang tahun 1948, kesediaan orang Melayu untuk berkerajaan sendiri semakin terserlah. Raja-raja Melayu dan para pembesar berjaya melumpuhkan gagasan Malayan Union yang ingin mengakis kedaulatan mereka. Kejayaan ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi adalah hasil daripada “latihan” pentadbiran selama enam dekad di mana pemimpin Melayu telah menguasai selok-belok diplomasi antarabangsa, serta pentadbiran eksekutif, perundangan dan kehakiman dalam bentuk moden. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 merupakan detik di mana “kunci” berkerajaan sendiri diambil semula secara rasmi daripada British dengan infrastruktur dan sistem yang sudah matang.

Berdasarkan fakta arkib, data kewangan, serta  prinsip undang-undang antarabangsa dan tempatan termasuklah adat Melayu yang kukuh, naratif penjajahan de facto di Pahang merupakan kesalahan tafsir sejarah. Pahang di bawah Sultan Ahmad I dan pemerintah kemudiannya adalah sebuah pemerintahan berdaulat yang melalui fasa transisi modenisasi yang berhadapan dengan pembudayaan Barat dan eksploitasi ekonomi.

Sarjana yang terperangkap dalam kerangka ilmu kolonial telah gagal memberikan keadilan kepada kebijaksanaan institusi diraja dalam mempertahankan kedaulatan watan di samping menguruskan keperluan semasa dan menangani agenda penguasaan ekonomi kapitalis. Segala keuntungan yang diperoleh oleh British adalah “upah” atas risiko modal dan modenisasi yang mereka bawa. Itulah harga yang perlu dibayar setelah Kesultanan Melayu hilang penguasaan ke atas pelabuhan  utama dan hubungan luar seperti pernah dinikmati oleh Kesultanan Melayu Melaka akibat peperangan sesama sendiri. Sejarah ini harus diambil dengan  iktibar, bukan terus mewariskan kacamata ilmu kolonial kepada generasi sekarang sehingga jati diri bangsa dan watan semakin tidak dihargai.

PROFESOR Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain ialah Pengasas Jurisprudens Watan & Fiqh al-Watan ISTAC-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia/ Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN