MEF gesa pakej bantuan kewangan susulan konflik Asia Barat - Utusan Malaysia

MEF gesa pakej bantuan kewangan susulan konflik Asia Barat

SYED HUSSAIN SYED HUSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan tidak boleh sekadar ‘tunggu dan lihat’ dengan merangka pakej bantuan kewangan selepas kesan penuh dirasai akibat konflik Asia Barat.

Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, mekanisme pembiayaan sedia ada serta rangka sokongan kecemasan yang boleh dilaksanakan dengan segera perlu disediakan.

Katanya, sebarang kelewatan bagi menangani kesan konflik akan memberikan kesan khususnya kepada perniagaan dengan margin keuntungan kecil.

“Sebarang langkah tindak balas perlu diaktifkan serta-merta, sekali gus membantu perniagaan menghadapi krisis dengan lebih berkesan dan mengelakkan penutupan atau gangguan yang boleh dielakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Hussain berkata, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) masih beroperasi dalam keadaan kewangan yang ketat selepas melalui pelbagai kejutan ekonomi beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk pandemik, peningkatan kos pematuhan serta ketidaktentuan global berterusan.

“Banyak sektor PMKS masih berada dalam fasa pemulihan dan beroperasi dalam keadaan aliran tunai yang ketat. Sebarang kejutan seperti konflik geopolitik ini boleh memberi tekanan besar terhadap daya tahan mereka.

“Langkah sokongan yang proaktif dan bersasar amat penting bagi membantu mereka mengharungi tempoh ini,” katanya..

Katanya, walaupun kesan segera terhadap ekonomi domestik masih terkawal, tanda awal konflik sudah dapat dilihat seperti peningkatan harga bahan api, caj pengangkutan, premium insurans dan kos input mula dirasai merentasi sektor utama terutama PMKS.

Katanya, gangguan berpanjangan berpotensi mencetuskan kesan berantai termasuk kelewatan rantaian bekalan, peningkatan kos pengeluaran serta penurunan daya saing dalam pasaran domestik dan eksport.

“Sekiranya konflik berlarutan, perniagaan akan berdepan peningkatan kos yang berterusan serta ketidaktentuan dalam rantaian bekalan. Ini pasti memberi kesan kepada penetapan harga, keputusan pelaburan dan perancangan pengambilan pekerja.

“Majikan cuba menyerap kenaikan ini, namun ada had sebelum ia menjejaskan kelangsungan perniagaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN