ALOR SETAR: Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) meningkatkan pemantauan ke atas pokok-pokok berisiko di bandar raya ini susulan kejadian pokok tumbang yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal di Jalan Tun Razak, semalam.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, MBAS turut melakukan pemeriksaan teknikal dan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kejadian itu.
“Penyelenggaraan utama dan menyeluruh serta secara berkala sentiasa dibuat oleh pihak MBAS ke atas semua pokok di dalam kawasan pentadbiran MBAS.
“Pihak MBAS akan terus memantau keadaan pokok-pokok di kawasan pentadbiran dari semasa ke semasa serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan orang awam sentiasa terpelihara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 1.15 tengah hari itu, seorang penunggang motosikal maut setelah dihempap pokok yang tiba-tiba tumbang ketika melalui jalan tersebut sementara seorang lagi penunggang cedera ringan.
Mangsa, Ahmad Farazi Kasim, 51, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian ketika dalam perjalanan mengambil isterinya di tempat kerja yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
Sementara itu, Abdul Gafar berkata, MBAS merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa di atas kejadian menyedihkan itu selain turut menghulur sumbangan ihsan kepada kedua-dua mangsa bagi meringankan beban mereka,” katanya. – UTUSAN







