Mangsa scammer segera hubungi 997, tingkat peluang selamatkan wang

Mangsa scammer segera hubungi 997, tingkat peluang selamatkan wang

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan dalam talian (scammer) digesa bertindak segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi mengelakkan wang dalam akaun terus lesap.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, tindakan pantas dalam tempoh ‘golden hour’ amat kritikal kerana kelewatan melaporkan insiden tersebut akan menyukarkan usaha menyekat aliran wang keluar daripada akaun keldai.

“Pihak kerajaan amat prihatin terutama apabila meneliti sistem NSRC yang menunjukkan bagaimana aliran wang keluar daripada akaun mangsa melalui pelbagai lapisan akaun keldai dengan begitu pantas.

“Masyarakat tidak perlu lagi membuat laporan polis secara berasingan di peringkat awal, memadai dengan menelefon 997 kerana operasi NSRC telah dibesarkan dengan kehadiran pegawai polis, pihak bank komersial dan wakil syarikat telco yang bersedia membantu,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan Perpaduan turut berkongsi satu kes membabitkan seorang mangsa yang kehilangan RM1 juta, namun hanya RM170,000 berjaya diselamatkan berikutan laporan dibuat lapan jam selepas kejadian.

“Dalam kes berbeza, jumlah wang yang berjaya diselamatkan adalah hampir 100 peratus apabila mangsa menelefon NSRC pada kadar segera. Justeru, saya harap rakan media dapat mewar-warkan talian 997 ini supaya tindakan pantas dapat diambil untuk menyelamatkan duit rakyat yang dicuri,” ujarnya.

NSRC yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu itu menjadi bukti komitmen berterusan kerajaan dalam membanteras jenayah siber menerusi pengukuhan operasi pusat berkenaan yang kini berfungsi sepenuhnya sebagai pusat respons kebangsaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN