PUTRAJAYA: Kerajaan setakat ini masih mengekalkan sasaran kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sekitar 4 hingga 4.5 peratus selepas mengambil kira ketidaktentuan semasa gangguan ekonomi global.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, unjuran itu bagaimanapun akan sentiasa disemak oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang akan menentukan sama ada sasaran ini kekal, naik ataupun turun bergantung kepada perkembangan ekonomi global.
“Tetapi setakat ini, kesimpulannya adalah kita kekal dengan sasaran ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Sistem Pemantauan Pelan Pelaksanaan Dasar Rancangan Malaysia Ke-13 (MyRMK) di sini hari ini.
Katanya, kementeriannya juga akan melihat kesan keseluruhan dan impak konflik Iran-Amerika Syarikat (AS) terhadap pertumbuhan ekonomi negara.
Akmal berkata, ketika ini, kesan langsung dapat dilihat adalah dari segi kenaikan harga minyak global selain impaknya jika konflik itu berlarutan dalam tempoh masa panjang.
“Sebab itu pada awalnya kita nyatakan bahawa keadaan ini semua dalam jangkaan dan juga pemantauan kita.
Cuma pada masa yang sama, petunjuk yang kita nampak adalah belum lagi kelihatan bahawa konflik ini akan berakhir dengan cepat.
“Dan dari segi kesannya juga bukan bermaksud apabila konflik tamat semuanya kembali kepada normal dengan segera. Ada perkara yang memerlukan masa untuk kembali pulih.
“Di peringkat Kementerian Ekonomi, kita melihat dari segi petunjuk yang mungkin berlaku dengan cepat seperti inflasi, rantaian bekalan, dan juga bagaimana kesannya terhadap kos pengangkutan secara keseluruhan,” katanya. – UTUSAN










