PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tiga pihak mendapatkan kebenaran merayu berkaitan tindakan kerajaan memberhentikan peruntukan dana RM730,300 bagi tujuan perbelanjaan kebajikan rakyat Parlimen Muar.
Pada prosiding hari ini, keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Nordin Hassan bersama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Hakim Nordin berkata, permohonan itu telah memenuhi syarat minimum yang diperlukan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 berkaitan dengan syarat-syarat rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
“Pemohon telah memenuhi threshold (syarat minimum) di bawah Seksyen 96 dan oleh itu permohonan kebenaran merayu adalah dibenarkan,” katanya ketika membaca penghakiman ringkas.
Peguam Kanan Persekutuan, Norhafizah Azizan mewakili Kerajaan Malaysia selaku responden manakala peguam Lim Wei Jiet mewakili Syed Saddiq.
Syed Saddiq sama tiga pengundi, Najib Abu Nawar, Mohd. Bakirudin Abdullah dan Muhamad Fadzly Bisri memohon kebenaran untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan mereka sebelum ini.
Pada 27 Oktober 2025, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Hashim Hamzah bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa semakan kehakiman yang difailkan perayu pada 23 April 2024 adalah jelas di luar tempoh masa yang ditetapkan.
Ketika ditemui selepas tamat prosiding, Wei Jiet memaklumkan, mahkamah juga telah membenarkan beberapa persoalan undang-undang untuk dikemukakan ke Mahkamah Persekutuan.
Katanya, persoalan pertama adalah berkaitan had masa untuk memfailkan semakan kehakiman kerana lazimnya ia perlu difailkan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh pemohonan bagi mengetahui alasan mencabar keputusan itu.
“Persoalan kedua dan ketiga pula adalah mengenai keputusan pihak eksekutif (kerajaan) untuk menarik balik peruntukan kawasan Parlimen kepada seseorang Ahli Parlimen boleh disemak oleh mahkamah atau ia merupakan keputusan dalam bidang kuasa eksekutif yang tidak boleh dicampuri oleh mahkamah.
“Apabila peruntukan bagi sesuatu kawasan Parlimen kepada seorang ahli Parlimen ditarik balik atau dinafikan, adakah keputusan tersebut boleh tertakluk kepada semakan kehakiman atas alasan pelanggaran hak kesamarataan yang dijamin di bawah Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan, pelanggaran doktrin pengasingan kuasa atau dibuat secara mala fide (niat jahat),” katanya.
Bagaimanapun, tarikh pendengaran rayuan itu belum ditetapkan oleh mahkamah.
Dalam permohonan semakan kehakiman difailkan pada 23 April 2024, Syed Saddiq dan tiga pengundi kawasan itu memohon perintah bagi membatalkan keputusan kerajaan memberhentikan atau membatalkan baki RM500,000 daripada jumlah RM1.7 juta.
Peruntukan itu sepatutnya disalurkan secara terus kepada akaun bank Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar bagi tujuan perbelanjaan program kebajikan, kesejahteraan rakyat dan bantuan bencana di kawasan Parlimen Muar.
Mereka turut menuntut supaya akses Syed Saddiq kepada sistem myKHAS yang menguruskan dana pembangunan RM2 juta untuk kawasan Parlimen dan pembatalan beberapa projek yang telah diluluskan bernilai RM230,300, dikembalikan.
Selain itu, mereka mencabar tindakan responden enggan meluluskan sebarang peruntukan kepada Syed Saddiq sebagai Ahli Parlimen Muar bagi program di bawah inisiatif Projek Mesra Rakyat atau program seumpamanya bagi 2024.
Mereka mendakwa tindakan tersebut menafikan hak kesamarataan Syed Saddiq selaku Ahli Parlimen Muar dan tiga pemohon lain sebagai pengundi kawasan Parlimen itu seperti termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan (hak kesamarataan). – UTUSAN










