Lotus’s Malaysia ambil alih TFP, bakal ke lokasi perdana - Utusan Malaysia

Lotus’s Malaysia ambil alih TFP, bakal ke lokasi perdana

Lotus's Malaysia - Gambar Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CP Axtra Public Co. Ltd. (CP Axtra) melalui anak syarikatnya, Lotus’s Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. bakal mengambil alih pengendali rangkaian pasar raya premium, The Food Purveyor Sdn. Bhd. (TFP) pada nilai RM1.66 bilion.

Pengambilalihan daripada firma ekuiti swasta, Navis Capital itu melibatkan jenama popular seperti Village Grocer, Ben’s Independent Grocer (B.I.G.), BSC Fine Foods, Pasaraya OTK serta rangkaian ultra-premium, The Food Merchant.

CP Axtra dalam makluman kepada Bursa Saham Thailand berkata, langkah itu bertujuan membolehkan kumpulan menembusi lokasi strategik di kawasan berpendapatan tinggi yang sebelum ini sukar diakses oleh format hipermarket Lotus’s.

“Melalui pengambilalihan ini, kami berjaya melepasi halangan kemasukan ke lokasi perdana di bandar raya yang telah dikuasai pemain sedia ada, sekali gus mendapat akses segera ke kawasan dengan trafik pelanggan yang tinggi.

“Langkah ini juga akan mengoptimumkan perolehan, pengedaran berpusat, pecutan pelbagai saluran (omni-channel) serta peluang jualan silang merentasi platform gabungan ini,” katanya.

Urus niaga tersebut dijangka selesai pada suku keempat 2026, tertakluk kepada pematuhan syarat perjanjian jual beli saham termasuk kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

TFP kini mengendalikan 34 cawangan Village Grocer, enam pasar raya B.I.G., enam outlet The Food Merchant, satu stor BSC Fine Foods dan tiga pasar raya tradisional Pasaraya OTK.

Langkah agresif CP Axtra, yang merupakan unit peruncitan konglomerat Thailand, Charoen Pokphand Group (CP Group), dilihat sebagai usaha memperkukuh kehadiran di Asia Tenggara ketika sentimen pengguna di pasaran asalnya sedang perlahan.  

CP Group sebelum ini telah memiliki tapak kukuh di Malaysia melalui 70 cawangan Lotus’s (dahulunya Tesco) yang diambil alih pada tahun 2020.  

Pengambilalihan TFP ini juga menyusuli langkah gergasi e-hailing, Grab Holdings Ltd. yang mengambil alih pegangan majoriti dalam Jaya Grocer pada tahun 2022 dengan nilai mencecah RM1.8 bilion. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN