Lima pikap gagal seludup 2,000 liter petrol ke Thailand

Lima pikap gagal seludup 2,000 liter petrol ke Thailand

ADZLI Abu Shah (dua kanan) dan Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin melihat pikap yang diubahsuai bagi menyeludup petrol ke Thailand pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Lima pikap berpendaftaran asing yang cuba menyeludup petrol berjumlah 2,000 liter ke Thailand berjaya ditahan polis dalam operasi khas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, lima lelaki terdiri empat warga Thailand dan seorang warga tempatan berusia 24 hingga 37 tahun yang memandu pikap terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan.

Kelima-lima kenderaan itu didapati mengubahsuai kenderaan masing-masing dengan memasang tangki tambahan bagi membawa petrol yang mahu diseludup ke Thailand.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita ambil maklum impak peperangan di Asia Barat terhadap ekonomi dunia termasuk masalah bekalan bahan api di negara jiran yang memungkinkan penyeludupan berlaku dari negara ini.

“Justeru, dalam operasi khas bermula pukul 7 hingga 8 pagi, semalam sebanyak lima pikap berpendaftaran asing ditahan setelah masing-masing membawa 400 liter untuk diseludup ke Thailand,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan yang disita sebanyak RM560,000 dan kelima-lima lelaki itu tiada rekod jenayah serta ujian saringan urin adalah negatif.

Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Sementara itu, Adzli berkata, polis juga sedang menyiasat stesen minyak yang dipercayai menjual bahan api berkenaan kepada sindiket  penyeludupan itu.

“Saya minta semua pengusaha stesen minyak di negeri ini supaya bertanggungjawab, jangan bersubahat dalam kegiatan penyeludupan yang boleh menjejaskan ekonomi negara serta menggugat keselamatan awam.

“Kita akan terus mempergiatkan operasi dan pemantauan khususnya di kawasan sempadan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini