PETALING JAYA: Lagu Jodoh Lebaran nyanyian Aisha Retno kini mengungguli carta tiga platform penstriman utama di Malaysia.
Sehingga kini, lagu tersebut kekal di tangga teratas Spotify Top 50 Malaysia, diikuti Suasana Hari Raya nyanyian Anuar Zain dan Ellina, manakala lagu Risk It All oleh Bruno Mars berada di kedudukan ketiga.
Bukan itu sahaja, satu lagi lagu nyanyian Aisha Retno, Ketipak Ketipung Raya turut tersenarai dalam kelompok 10 terbaik, iaitu di tangga keenam carta Spotify.
Mengintai carta Apple Music Malaysia, Jodoh Lebaran terus mempertahankan kedudukan pertama, diikuti Bruno Mars, manakala Ketipak Ketipung Raya berada di tangga ketiga.
Prestasi cemerlang turut dicatatkan dalam YouTube Malaysia Daily Chart apabila lagu berkenaan menduduki tempat pertama, diikuti Serumpun nyanyian Mimifly serta Bincang Raya oleh Amira Othman.
Bersyukur atas kejayaan tersebut, Aisha berkata, ia mungkin jawapan kepada doa yang sering dipanjatkannya selepas menunaikan solat tarawih sepanjang Ramadan lalu.
“Allahuakbar, semasa Ramadan lepas, setiap kali selesai tarawih saya selalu berdoa untuk dipertemukan ‘jodoh’. Mungkin ini rezeki ‘jodoh’ yang Allah kurniakan,” tulisnya menerusi aplikasi Threads.
Dalam pada itu, penyanyi berkenaan turut berkongsi keterujaan apabila lagu Ketipak Ketipung Raya yang diterbitkan pada 2024 kembali tular di Indonesia.
“Saya sendiri hampir terlupa tentang lagu itu, namun nampaknya kini kembali mendapat perhatian. Di Indonesia, lagu tersebut sedang meningkat naik, manakala di Malaysia pula Jodoh Lebaran menjadi pilihan,” katanya. -UTUSAN











