Lelaki warga asing ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat lima kondominium

Lelaki warga asing ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat lima kondominium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang lelaki warga asing ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah di hadapan lobi sebuah kondominium di Cyberjaya, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, kejadian itu dilaporkan kepada pihak polis kira-kira pukul 2 petang selepas orang awam membuat panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Cyberjaya yang bergegas ke lokasi mendapati mangsa dalam keadaan tertiarap dengan tubuh badan berlumuran darah di lantai lobi.

“Siasatan awal mendapati lelaki berusia 39 tahun itu dipercayai terjatuh dari tingkat lima unit kediaman yang didudukinya di bangunan berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, siasatan juga mendapati, mangsa merupakan seorang pelajar di sebuah universiti tempatan, namun pemeriksaan lanjut pasukan forensik di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah dikesan.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (LMM) dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Cyberjaya untuk bedah siasat,” katanya.

Dalam pada itu, Norhizam meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di talian 03-87774222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN