BERUAS: Seorang lelaki maut selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dinaikinya terbabas sebelum terbalik berhampiran persimpangan lampu isyarat di Ayer Tawar, di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 40-an tersepit di bahagian tempat duduk pemandu, manakala seorang lagi lelaki yang berada di tempat duduk penumpang hadapan tercampak keluar dari kenderaan berkenaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 5.05 pagi.
Katanya, sebaik sampai di tempat kemalangan, didapati kedua-dua mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pemandu yang tersepit dalam kenderaan disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.
“Operasi membawa keluar mangsa terbabit segera dijalankan menggunakan peralatan hidraulik dan pengusung sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan.
“Operasi melibatkan tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) itu tamat sepenuhnya pada pukul 6.30 pagi,” katanya. – UTUSAN










