IPOH: Selepas enam hari operasi mencari dan menyelamat dijalankan, suspek kes kecurian kabel yang terjatuh ke dalam Empangan Sultan Azlan Shah di Ulu Kinta, Tambun, akhirnya ditemukan lemas hari ini.
Mangsa berusia 32 tahun itu ditemukan pada jarak 300 meter dari lokasi lelaki berkenaan dipercayai jatuh, Jumaat lalu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.22 pagi memaklumkan mangsa telah timbul di permukaan air empangan berkenaan.
Katanya, susulan maklumat itu, operasi bantuan untuk mengambil mayat segera digerakkan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menerusi laporan media pada Jumaat lalu, dua lelaki yang terjatuh ke dalam empangan itu dengan seorang daripadanya dikhuatiri lemas, disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di pencawang empangan berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, maklumat berhubung kejadian curi kabel di kawasan pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di empangan tersebut diterima pada pukul 12.40 tengah malam.
Katanya, dalam tempoh 10 minit, Balai Polis Tanjung Rambutan pula menerima maklumat mengenai kejadian seorang lelaki dipercayai lemas berhampiran lokasi sama.
“Berdasarkan maklumat awal, dua lelaki disyaki mencuri kabel sebelum salah seorang daripada mereka terjatuh dan dikhuatiri lemas, manakala seorang lagi berjaya diselamatkan selepas terperangkap di tebing empangan,” katanya. – UTUSAN










