PUTRAJAYA: Laporan Jawatankuasa Khas Siasatan berkaitan isu pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dijangka disiapkan oleh Peguam Negara dalam masa terdekat.
Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, bagaimanapun berkata, perkara berhubung laporan berkenaan tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Tidak (dibincangkan). Perdana Menteri dalam sesi soal jawab semalam telah maklumkan bahawa laporan daripada Peguam Negara (berhubung dakwaan melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM) akan disiapkan dalam masa satu atau dua hari ini,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, laporan siasatan berhubung dakwaan melibatkan Azam akan siap dalam tempoh satu hingga dua hari dan dijangka dibentangkan minggu ini.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, laporan yang diketuai Peguam Negara itu tidak akan tertangguh dan akan menjadi asas kepada sebarang keputusan lanjut termasuk cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). – UTUSAN










