KAJANG: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Pintasan Kajang–Semenyih, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Range Rover dengan sebuah van jenis Mazda Wagon.
Ketua Polis Daerah Kajang berkata, siasatan awal mendapati kenderaan SUV yang dipandu lelaki tempatan berusia 51 tahun itu hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang van berkenaan sehingga menyebabkan kenderaan itu terbalik ke bahu kiri jalan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati pemandu SUV terbabit positif alkohol ketika kejadian.
“Pemandu SUV tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu van bersama lima penumpang berusia antara tujuh hingga 51 tahun cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Kajang dan Hospital Serdang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemandu SUV tersebut ditahan dan direman selama dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda antara RM30,000 hingga RM50,000.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Nurul Shaffika Mohd. Shair di talian 013-2091766 bagi membantu siasatan,” katanya.- UTUSAN










