PETALING JAYA: Seramai 14,332 pengarah syarikat dilarang keluar negara sehingga Disember 2025 selepas gagal menjelaskan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja mereka.
Tindakan tegas itu diambil susulan penyerahan 2,257 nama baharu kepada Jabatan Imigresen Malaysia di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991 bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu.
Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin berkata, majikan mempunyai kewajipan undang-undang di bawah Seksyen 43(1) akta yang sama untuk membayar caruman tepat pada masanya.
“Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka berdepan tindakan penguatkuasaan termasuk prosiding sivil, pendakwaan jenayah dan sekatan perjalanan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sepanjang tahun 2025, KWSP telah memfailkan 3,530 saman sivil dan mengambil 6,011 tindakan jenayah terhadap majikan serta pengarah syarikat yang ingkar.
Menurut Sazaliza, langkah penguatkuasaan yang agresif ini penting bagi memastikan simpanan persaraan pekerja terus berkembang dan tidak terjejas, sekali gus menjamin kesejahteraan kewangan jangka panjang ahli.
Katanya, dalam tempoh sama, KWSP berjaya menyelesaikan 8,868 kes tunggakan caruman daripada keseluruhan 21,029 aduan yang diterima, manakala 12,161 kes lagi masih dalam siasatan dan tindakan undang-undang.
“KWSP akan terus mempergiat usaha ini dan setiap aduan yang diterima akan disiasat bagi memastikan hak ahli sentiasa dilindungi,” tambahnya.
Sehubungan itu, ahli KWSP digesa untuk sentiasa menyemak akaun mereka melalui aplikasi KWSP i-Akaun bagi memastikan caruman dikreditkan dalam jumlah yang betul.
Jika terdapat percanggahan, ahli dinasihatkan menghubungi majikan atau melaporkan segera kepada KWSP dengan dokumen sokongan seperti slip gaji.
Majikan pula digalakkan menggunakan platform i-Akaun (Majikan) untuk menyemak rekod pembayaran dan segera hadir ke pejabat KWSP sekiranya mempunyai isu berkaitan tunggakan untuk penyelesaian. –UTUSAN










