KPM junjung titah Agong, institusi pendidikan diarah pantau aktiviti luar musim panas

KPM junjung titah Agong, institusi pendidikan diarah pantau aktiviti luar musim panas

INSTITUSI pendidikan diarah pantau aktiviti luar musim panas - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menjunjung Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk memastikan aspek keselamatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah dalam keadaan cuaca panas terpelihara.

KPM dalam kenyataan berkata, titah Seri Paduka Baginda menjadi peringatan kepada semua institusi pendidikan KPM untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mengikuti garis panduan dalam menghadapi cuaca panas pada ketika ini.

“KPM telah mengeluarkan arahan berkaitan kepada semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.

“Ini termasuk keperluan untuk memantau pelaksanaan aktiviti luar serta kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di sekolah untuk memakai pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas,” katanya hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim menasihati rakyat supaya mengambil langkah berjaga-jaga berikutan keadaan cuaca panas yang melanda negara ketika ini yang dijangka berlarutan sehingga awal atau pertengahan Jun ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda menekankan kepentingan menjaga kesihatan dengan mengurangkan aktiviti luar yang terdedah kepada cuaca panas serta memastikan pengambilan air yang mencukupi sepanjang tempoh berkenaan.

Sultan Ibrahim turut bertitah supaya KPM mengambil perhatian serius berkenaan perkara itu bagi memastikan kesihatan murid serta pelajar tidak terjejas berikutan fenomena cuaca panas.

Sebelum ini, KPM meminta supaya sekolah menangguhkan penganjuran aktiviti luar sekiranya suhu melebihi 35 darjah Celcius, selain memantau aktiviti berpotensi mendedahkan murid kepada cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.

KPM turut meminta semua institusi pendidikan di bawahnya meningkatkan persediaan dan melaksanakan langkah sewajarnya bagi menghadapi cuaca panas apabila sekolah kembali dibuka pada Ahad dan Isnin ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN