PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang menilai semula stok bekalan input pertanian negara sebagai langkah persediaan awal menghadapi kemungkinan kenaikan harga minyak dunia.
Menterinya, Mohamad Sabu berkata, pegawai kementerian kini menjalankan pemantauan serta penilaian secara terperinci bagi mendapatkan maklumat awal dan membuat unjuran kesan terhadap sektor makanan negara.
“Pegawai-pegawai kementerian sedang melakukan kerja secara intensif untuk mendapatkan maklumat awal serta membuat ramalan sekiranya berlaku perubahan harga yang boleh memberi kesan kepada sektor makanan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, kementerian kini melaksanakan proses stocktake bagi mengenal pasti jumlah sebenar bekalan input pertanian termasuk baja dan bahan sokongan lain yang digunakan dalam pengeluaran makanan.
“Pada masa ini kita melihat semua input pertanian yang ada serta menilai berapa lama bekalan tersebut boleh bertahan.
“Jika berlaku apa-apa keadaan, pelan krisis akan dilaksanakan namun pada masa ini ia masih belum diperlukan,” katanya.
Beliau berkata, kesan terdekat yang mungkin berlaku sekiranya harga minyak meningkat ialah kenaikan harga produk berkaitan seperti baja yang boleh memberi impak kepada hasil atau keluaran pertanian negara.
Sehubungan itu, katanya, kementerian akan merancang keperluan bekalan berdasarkan stok sedia ada selain meningkatkan pengeluaran makanan tempatan.
“Antara langkah yang dilaksanakan termasuk penggunaan teknologi baharu dalam sektor pertanian serta membuka kawasan pertanian baharu di Sabah dan Sarawak selain membangunkan tanah terbiar bagi meningkatkan hasil pengeluaran negara,” katanya. – UTUSAN









