PETALING JAYA: KPJ Healthcare Berhad terus memperkukuh sistem penjagaan kesihatannya apabila melancarkan Pusat Kecemerlangan Neurosains dan Strok di KPJ Damansara Specialist Hospital 2 sebagai sebahagian daripada transformasi besar sistem kesihatan kumpulan itu.
Pelancaran pusat tersebut dilihat sebagai langkah strategik dalam usaha meningkatkan keupayaan rawatan neurologi dan strok yang lebih pantas, menyeluruh serta berasaskan bukti klinikal.
Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, penubuhan pusat tersebut merupakan sebahagian daripada pembangunan Sistem Kesihatan KPJ yang diperkenalkan sejak 2023.
“Selepas 45 tahun beroperasi dan kini memiliki 29 hospital, kami menyedari banyak sistem, protokol serta aliran kerja perlu disemak semula supaya selari dengan amalan terbaik global.
“Untuk memastikan kelestarian KPJ pada masa hadapan, kami perlu berani mencabar diri sendiri dan melakukan perubahan walaupun ia bukan sesuatu yang mudah,” kata Syed Mohamed.
Menurut beliau, pusat kecemerlangan tersebut diwujudkan bagi menyediakan rawatan strok dan neurologi yang lebih pantas serta menyeluruh kerana setiap saat amat penting dalam menyelamatkan fungsi otak pesakit.
“Dalam dunia perubatan kita selalu menyebut ‘time is brain’, kerana setiap minit yang dijimatkan dalam rawatan strok bermakna lebih banyak fungsi otak dapat diselamatkan,” katanya. – UTUSAN










