PETALING JAYA: KPJ Healthcare Berhad terus memperkukuh kedudukan dalam sektor penjagaan kesihatan apabila melancarkan Pusat Kecemerlangan (CoE) Neurosains dan Strok di Damansara Specialist Hospital 2 (DSH2), sekali gus menandakan langkah penting dalam transformasi sistem kesihatan kumpulan itu.
Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, penubuhan pusat tersebut merupakan sebahagian daripada usaha besar dalam membangunkan Sistem Kesihatan KPJ yang diperkenalkan pada 2023.
“Sistem tersebut diibaratkan sebagai satu ‘moonshot’ atau pencapaian luar biasa kerana ia melibatkan perubahan besar dalam cara organisasi itu beroperasi selepas lebih empat dekad dalam industri penjagaan kesihatan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pusat itu di sini baru-baru ini
Syed Mohamed turut memberitahu bahawa KPJ tidak hanya mahu kekal relevan di Malaysia, tetapi berhasrat menjadi antara sistem kesihatan terbaik di rantau ini sebelum melangkah ke peringkat global.
“Kami mahu menjadi nombor satu di Malaysia, kemudian di rantau ini, dan akhirnya diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia,” katanya.

Turut hadir, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan.
Dalam pada itu, Keat Chyuan berkata, pusat kecemerlangan tersebut diwujudkan bagi menyediakan rawatan neurologi dan strok yang komprehensif, cepat dan berasaskan bukti klinikal.
Beliau menjelaskan bahawa dalam rawatan strok, faktor masa sangat kritikal kerana setiap minit yang terlewat boleh menyebabkan kerosakan otak yang lebih serius.
“Seperti yang sering disebut dalam dunia perubatan, time is brain. Setiap masa yang dijimatkan bermakna lebih banyak fungsi otak dapat diselamatkan,” katanya.
Menurut beliau, COE Neurosains dan Strok di DSH2 menyediakan laluan klinikal lengkap bermula daripada pengaktifan ambulans, triage kecemasan, rawatan intervensi akut, penjagaan ICU sehingga kepada program pemulihan pesakit.
Pusat tersebut juga dilengkapi teknologi diagnostik dan rawatan moden termasuk pengimbas CT dwi-sumber 256 hirisan, MRI 3 Tesla, serta keupayaan melakukan trombektomi mekanikal dan rawatan strok akut sepanjang masa.
Selain rawatan strok, pusat itu turut memberi tumpuan kepada gangguan pergerakan dan penyakit Parkinson dengan perancangan memperkenalkan prosedur Deep Brain Stimulation (DBS) pada masa hadapan.
KPJ turut menyasarkan untuk menubuhkan 15 Pusat Kecemerlangan merangkumi pelbagai bidang kepakaran menjelang tahun 2030 sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh sistem kesihatan kumpulan itu. – UTUSAN










