IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak meningkatkan pemantauan di stesen-stesen minyak berhampiran sempadan bagi mengekang risiko ketirisan dan penyelewengan bahan api bersubsidi.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemantauan berterusan dengan kawalan 24 jam itu dilaksanakan susulan konflik di Asia Barat yang menyebabkan lonjakan harga minyak di pasaran global.
Katanya, langkah tersebut melibatkan kawasan sempadan di Pengkalan Hulu yang dikenal pasti berisiko berlakunya aktiviti penyeludupan bahan api oleh kenderaan asing.
“Di Perak, kita mempunyai kawasan sempadan di Pengkalan Hulu. Oleh itu, kawalan diperketat selama 24 jam termasuk meningkatkan pemantauan di stesen-stesen minyak bagi mengelakkan ketirisan dan penyelewengan diesel dan petrol bersubsidi.
“Pasukan penguat kuasa berpakaian preman juga akan ditempatkan bagi memantau operasi di stesen minyak. Sekiranya terdapat sebarang cubaan melakukan penyelewengan, tindakan tegas akan diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Sesi Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2026 di Pejabat KPDN Perak, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, sepanjang pemantauan yang dijalankan, bekalan barangan keperluan utama di negeri ini mencukupi dan tiada isu kekurangan bekalan dilaporkan setakat ini.
“Kita jalankan pemantauan di kedai-kedai dan mendapati bekalan barangan seperti minyak masak paket masih banyak dalam pasaran, sekali gus menunjukkan bekalan keperluan semasa di Perak berada pada tahap mencukupi,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2026, beliau berkata skim berkenaan dilaksanakan selama 15 hari bermula 14 hingga 28 Mac dengan 23 jenis barangan ditetapkan pada harga maksimum.
Katanya, seramai 195 orang penguat kuasa dan 75 orang pegawai pemantau harga akan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan berterusan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah.
“Pendekatan ini membolehkan penguatkuasanaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” katanya. – UTUSAN










