PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkukuh penguatkuasaan bagi membendung ketirisan dan penyeludupan, selain memastikan bekalan barang kawalan kekal stabil walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, KPDN menekankan penguatkuasaan tegas bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan serta mengekalkan kestabilan bekalan barang kawalan di pasaran.
Katanya, penguatkuasaan sepenuhnya larangan penjualan dan pembelian RON95 bagi kenderaan berpendaftaran asing mulai Rabu ini antara strategi lebih agresif KPDN bagi mendepani gangguan bekalan bahan api yang boleh memberi kesan langsung kepada ekonomi negara.
“Pada tarikh sama, pelesen stesen minyak di Sabah, Sarawak dan Labuan diarah mengawal penjualan diesel kepada kenderaan pengangkutan darat mengikut kategori iaitu 50 liter, 100 liter dan 150 liter bagi setiap transaksi pembelian.
“Langkah itu bertujuan memastikan bekalan diesel subsidi RM2.15 seliter di Sabah, Sarawak dan Labuan tidak dieksploitasi oleh sindiket penyeludupan atau sektor industri tidak layak, serta memastikan subsidi hanya dinikmati rakyat Malaysia.
“KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemilik atau pemandu kenderaan asing mahupun pengusaha stesen minyak yang melanggar peraturan ini dan akan berdepan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azman, seramai 2,400 pegawai penguatkuasa KPDN di seluruh negara kini bersiap sedia untuk melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di lapangan melalui Op Tiris 4.0.
“KPDN juga memperkukuh kerjasama strategik bersepadu bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi penguatkuasa lain bagi menutup sebarang ruang penyelewengan dan ketirisan,” katanya.
Azman berkata, KPDN tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan individu atau sindiket mengambil kesempatan daripada situasi konflik global.
“Perbuatan menyeleweng subsidi negara adalah pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat dan negara. Tindakan penguatkuasaan paling tegas akan diambil tanpa sebarang toleransi.
“Usaha berterusan KPDN ini selari dengan saranan Perdana Menteri untuk memastikan kelangsungan bekalan tenaga negara terus terjamin dan dapat memenuhi keperluan rakyat, walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik akibat konflik di Asia Barat,” katanya. – UTUSAN











