Konflik Asia Barat: KPKM bentang impak bekalan makanan minggu depan

Konflik Asia Barat: KPKM bentang impak bekalan makanan minggu depan

MOHAMAD Sabu (kiri) beramah mesra dengan peniaga bazar Ramadan anjuaran FAMA di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan membentangkan impak bekalan makanan negara susulan konflik Asia Barat itu minggu depan selepas satu laporan penilaian khas disediakan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pegawai yang bertugas di bahagian sekuriti makanan serta unit antarabangsa telah diarahkan untuk menjalankan penilaian segera berhubung impak peperangan berkaitan berkaitan kemungkinan harga minyak dunia naik.

Katanya, laporan itu penting bagi menilai sejauh mana konflik berkenaan boleh menjejaskan rantaian bekalan makanan negara dalam masa terdekat.

“Setakat ini Malaysia tidak terlalu bergantung kepada import makanan dari negara Asia Barat kerana sebahagian besar sumber makanan diperoleh daripada negara lain.

“Antara rakan dagangan utama sektor pertanian negara ialah negara ASEAN, India, Pakistan, Australia, New Zealand, Brazil dan China,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sentuhan Agro Madani: Karnival Cahaya Aidilfitri KPKM 2026 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini hari ini.

Mohamad memberitahu, Malaysia lebih banyak mengimport bahan makanan daripada negara-negara berkenaan berbanding Asia Barat, sekali gus mengurangkan risiko gangguan bekalan secara langsung.

Katanya, walaupun terdapat eksport ke Asia Barat, jumlahnya tidak terlalu besar dan tidak memberi kesan ketara kepada perdagangan makanan negara.

“Saya yakin kalau ada kesan pun ia tidak terlalu besar kerana perdagangan di kawasan tersebut lebih berkait dengan minyak.

“Namun, kenaikan harga minyak mungkin memberi kesan kepada kos pengeluaran dan harga bahan makanan. Kita akan lihat impak awal dalam tempoh satu hingga dua minggu,” ujarnya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, konflik yang berlaku di Asia Barat ketika ini masih belum menjejaskan keterjaminan bekalan makanan negara berikutan kebanyakan sumber makanan import tidak melibatkan negara-negara yang sedang terkesan secara langsung dengan konflik di rantau tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN