IPOH: Kerajaan membincangkan usaha membawa pulang rakyat Malaysia terutama pelajar yang terkandas susulan konflik di Asia Barat.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, perkara itu dimaklumkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini sebagai langkah memastikan keselamatan rakyat yang berada di kawasan terjejas.
Menurutnya, usaha membawa pulang rakyat yang terjejas kerana konflik itu berjalan lancar kerana kerjasama serta hubungan diplomatik yang baik dengan negara-negara yang sedia membantu.
“Kerajaan melalui kedutaan Malaysia di Iran serta negara-negara jiran yang terkesan telah bersiap siaga dengan pelan kecemasan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kedutaan kita sentiasa mempunyai jalan dan ikhtiar untuk memastikan keselamatan warga Malaysia di mana-mana kawasan yang sedang berlaku konflik sentiasa terjamin.
“Ketika ini kerajaan sedang menggerakkan segala usaha yang perlu bagi memastikan keselamatan mereka,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada perasmian Apple Education Classroom di Politeknik Ungku Omar (PUO) sempena Majlis Iftar Perdana bersama warga politeknik itu di sini hari ini.
Adam Adli percaya wakil dan kedutaan di Iran dan negara berdekatan yang terlibat dengan konflik sudah bersedia dengan pelan-pelan kecemasan.
Beliau berharap pelajar dan rakyat Malaysia yang terkandas dapat mengikut setiap arahan dan dapat melaporkan diri dengan segera yang mungkin.
“Tentu sekali kita sentiasa mengutamakan keselamatan setiap warga kita di mana-mana daerah yang sedang berlaku konflik dan sejak dahulu sampai sekarang. Alhamdulillah kedutaan kita sentiasa ada jalan dan ikhtiar untuk pastikan keselamatan warga Malaysia di luar negara sentiasa terjamin,” katanya.
Tambah beliau, rakyat negara yang berada di kawasan konflik sentiasa berhubung dengan Wisma Putra dan KPT untuk sebarang maklumat dan arahan terkini.
Seramai 1,936 pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di enam negara Asia Barat yang terjejas dikenal pasti berada dalam keadaan selamat meskipun terkesan dengan ketegangan konflik yang memuncak di rantau tersebut.
Jumlah itu merangkumi enam pelajar Malaysia berada di Iran, Qatar (tiga), Kuwait (sembilan), Emiriah Arab Bersatu (21),Arab Saudi (135) dan Jordan (1,762). – UTUSAN










