Ketegangan di Iran: 55 jemaah umrah Malaysia terkandas di Jeddah - Utusan Malaysia

Ketegangan di Iran: 55 jemaah umrah Malaysia terkandas di Jeddah

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 55 jemaah umrah Malaysia terkandas di Jeddah selepas penerbangan pulang mereka ke tanah air dibatalkan pada saat akhir.

Memetik laporan Bernama, jemaah terlibat, Mohd. Nasarudin Kassim, 57, berkata, mereka sepatutnya berlepas pulang pada pukul 1 pagi Sabtu waktu tempatan, namun dimaklumkan mengenai pembatalan tersebut beberapa jam sebelum waktu berlepas.

“Situasi di sini buat masa ini tenang dan terkawal. Pihak agensi dan syarikat penerbangan telah menyediakan penginapan hotel untuk kami sementara menunggu Isnin nanti,” katanya.

Mohd. Nasarudin berkata, mereka kini ditempatkan di sebuah hotel di Jeddah sementara menunggu jadual penerbangan baharu.

Selain kumpulan tersebut, beberapa jemaah lain daripada agensi berbeza turut terjejas dan menginap di lokasi sama.

Mereka dijangka pulang pada 2 Mac melalui penerbangan Malaysia Airlines (MAS), namun dari Madinah.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa penerbangan melibatkan laluan antara Kuala Lumpur dan destinasi di Timur Tengah dilaporkan terjejas susulan penutupan ruang udara di kawasan tertentu.

Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah memaklumkan, pihaknya sedang memantau keadaan semasa dan memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Arab Saudi sentiasa diberi perhatian.

Rakyat Malaysia di negara itu juga digalakkan memuat turun aplikasi MyWorldAlert bagi mendapatkan maklumat terkini dan memudahkan urusan bantuan sekiranya diperlukan.

Terdahulu, dua pesawat MAS yang dalam penerbangan antarabangsa ke Doha dan Jeddah terpaksa berpatah balik serta dilencongkan, susulan kemungkinan risiko keselamatan ruang udara di sekitar Iran.

Menurut MAS dalam kenyataan, penerbangan MH160 dari Kuala Lumpur ke Doha (KUL–DOH) dan MH156 dari Kuala Lumpur ke Jeddah (KUL–JED) yang berlepas semalam masing-masing berpatah balik ke Kuala Lumpur dan dilencongkan ke Chennai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN