Ketamin RM1.01 juta dijumpai dalam guni di tepi pantai - Utusan Malaysia

Ketamin RM1.01 juta dijumpai dalam guni di tepi pantai

DADAH jenis ketamin yang dijumpai dalam guni di Pantai Pasir Bogak di Pulau Pangkor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Dadah jenis ketamin seberat 20.2 kilogram (kg) ditemukan dalam sebuah guni yang ditinggalkan di tepi kawasan pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, maklumat berkaitan penemuan itu diterima pada pukul 9 malam sebelum sepasukan pegawai dan anggota polis ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas guni tersebut menemui 20 bungkusan plastik disyaki mengandungi dadah jenis ketamin dengan anggaran berat keseluruhan 20,200 gram.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan mencecah RM1.01 juta dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kejayaan itu adalah hasil kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

“Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah.

“Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti berkaitan dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang.

Tambah beliau, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik komited dalam usaha membanteras dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya menerusi talian hotline JSJN di 012-208 7222,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN