Kes tembak komander AKPS: Sembilan dibebaskan, dua masih ditahan - Utusan Malaysia

Kes tembak komander AKPS: Sembilan dibebaskan, dua masih ditahan

ADZLI ABU SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes tembak kenderaan dipandu Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam masih ditahan polis.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kedua-dua mereka ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

“Secara keseluruhan, polis menahan 11 individu berusia 22 hingga 60 tahun terdiri daripada 10 lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.

“Sembilan daripadanya telah dibebaskan dengan tujuh diberikan bon jaminan di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah, manakala dua lagi dengan jaminan polis,” katanya hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 5.40 pagi 25 Februari lalu, kereta Proton X70 dipandu Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir ditembak dua das dari jarak satu meter oleh dua suspek yang menaiki motosikal.

Beliau dalam perjalanan menunaikan solat Subuh di Masjid Al-Muhajirin Bukit Kayu Hitam dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tembakan pertama terkena bahagian pintu belakang kenderaan itu, sementara tembakan kedua melintasi beliau yang ketika itu membuka tingkap kenderaan utiliti sukan (SUV) berkenaan.

Adzli berkata, daripada sembilan yang dibebaskan, enam individu telah dituduh di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana positif dadah.

“Kita masih meneruskan siasatan dan meneliti keterangan-keterangan bersabit insiden jenayah ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkan kepada polis,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN