BUKIT MERTAJAM : Polis masih menunggu laporan bedah siasat berhubung punca sebenar kematian bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah taska dalam kawasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, buat masa ini, kes tersebut diklasifikasikan sebagai ‘pending further investigation’ atau menunggu siasatan lanjut sementara hasil laporan bedah siasat dikeluarkan.
“Proses bedah siasat itu sudah berjalan, namun, pihak hospital masih belum dapat mengesahkan punca sebenar kematian bayi berkenaan.
“Sehubungan itu, polis meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan pada masa yang sama, memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara telus dan profesional,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kejadian itu, Helmi berkata, pihaknya telah dimaklumkan oleh seorang pegawai perubatan yang bertugas pada masa kejadian bahawa bayi tersebut dibawa ke hospital oleh seorang pengasuh sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.20 pagi semalam.
Beliau berkata, susulan kejadian itu juga, dua wanita tempatan iaitu pekerja taska terbabit telah ditahan selepas polis menjalankan siasatan lanjut di lokasi termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska berkenaan.
Katanya, kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.-UTUSAN










