Kerajaan perluas tanaman kenaf ke Sarawak, Sabah

Kerajaan perluas tanaman kenaf ke Sarawak, Sabah

NORAINI Ahmad (tiga kiri) menyampaikan replika cek Skim Insentif Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit semasa majlis berbuka puasa di Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan memperluaskan tanaman kenaf ke Sarawak dan Sabah bagi meningkatkan pengeluaran fiber, biji benih serta makanan ternakan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, langkah memperluaskan penanaman kenaf ke Sabah dan Sarawak dijangka mampu memperkukuh rantaian industri kenaf negara di samping memberi peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat.

Katanya, ia melibatkan kerjasama dengan beberapa agensi dan syarikat tempatan bagi meningkatkan keluasan tanaman kenaf di kedua-dua negeri berkenaan.

“Di Sarawak, tanaman itu melibatkan erjasama dengan Syarikat Juta Walet Trading and Services menyasarkan keluasan tanaman kira-kira 234 hektar bagi projek ladang kluster untuk pengeluaran fiber, biji benih serta makanan ternakan.

“Selain itu, terdapat juga potensi tanaman kenaf seluas 500 hektar di kawasan Miri dan Sarikei bagi tujuan sama. Pada masa sama, Syarikat Texo Engineering turut dikenal pasti mempunyai potensi keluasan tanaman kira-kira 150 hektar untuk pembangunan kenaf,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa di sini hari ini.

Noraini memberitahu, pembinaan pusat pemprosesan biji benih dan makanan ternakan juga akan dibangunkan bagi menyokong perkembangan industri kenaf di negeri berkenaan.

Katanya, kerajaan juga merancang pembinaan pusat pemprosesan biji benih kenaf di Bintulu serta pusat pemprosesan kenaf di Ulu Sebauh, Bintulu.

Noraini berkata, di Sabah, pembangunan kenaf dilaksanakan melalui kerjasama dengan Sabah Land Development Berhad (SLDB).

Katanya, jabatan Pertanian Sabah telah meluluskan permit import bagi kemasukan biji benih kenaf khas untuk pengedaran dan penanaman di daerah Sook, Keningau.

“Potensi keluasan tanaman di kawasan tersebut dianggarkan mencecah 200 hektar melibatkan pengeluaran biji benih dan makanan ternakan.

“Sebagai permulaan, plot percubaan seluas lima hektar akan dilaksanakan bagi pengeluaran makanan ternakan melalui anak syarikat SLDB iaitu Sabah Livestock Diaries Breeder Sdn Bhd (SLDBSB) yang dijangka bermula pada Mei ini,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN