BERUAS: Kerajaan meneliti cadangan untuk memberikan moratorium selama dua tahun kepada nelayan yang berdepan kesukaran untuk memperbaharui lesen menangkap ikan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, cadangan tersebut mendapat persetujuan secara dasar daripada menteri, Datuk Seri Mohamad Sabu yang prihatin terhadap kesukaran nelayan untuk memperbaharui lesen.
Katanya, pendekatan tersebut dilihat mampu memberi kelegaan sementara kepada nelayan untuk terus menjalankan aktiviti menangkap hasil laut tanpa gangguan, selain membuka ruang untuk mereka menyusun semula urusan dokumentasi bagi memperbaharui lesen.
“Kerajaan mengambil serius perkara ini dan sedang memperhalusi kaedah terbaik bagi memastikan pelaksanaan moratorium dapat memberi manfaat secara menyeluruh kepada golongan sasar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Pelancaran Pertubuhan Peniaga Ikan Pantai Remis di sini hari ini.
Menurutnya, perincian mekanisme pelaksanaan moratorium itu kini berada di peringkat akhir penelitian.
“Perkara ini dijangka diumumkan dalam masa terdekat dengan sasaran untuk dilaksanakan sebelum pertengahan tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Foong Hin berkata, isu berkaitan subsidi bahan api khususnya diesel yang dibangkitkan oleh nelayan, petani dan penternak, telah dibawa ke perhatian Kementerian Kewangan.
“Perkara ini memerlukan penelitian menyeluruh kerana melibatkan pelbagai pihak termasuk kementerian serta agensi berkaitan sebelum sebarang keputusan dapat dibuat,” ujarnya. – UTUSAN











