PUTRAJAYA: Bekalan bahan api di seluruh negara dijangka tidak terjejas sepanjang musim Hari Raya Aidilfitri ini meskipun berlaku peningkatan pergerakan orang ramai pulang ke kampung.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, situasi tersebut telah diambil kira kerajaan dan syarikat minyak yang sememangnya berpengalaman mengurus peningkatan permintaan bahan api setiap kali musim perayaan.
Menurutnya, pemantauan stok bekalan dilakukan secara berterusan oleh jawatankuasa merentas kementerian yang ditubuhkan kerajaan bagi memastikan keterjaminan bekalan bahan api di seluruh negara.
“Di bawah pengawasan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), tahap stok di stesen minyak serta syarikat minyak sentiasa dipantau.
“Setiap tahun kita melalui musim perayaan dan syarikat minyak sudah biasa membuat persediaan dengan menambah bekalan di kawasan yang dijangka menerima peningkatan kenderaan seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat khas Jemaah Menteri di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kebimbangan kemungkinan gangguan bekalan petrol berikutan peningkatan perjalanan orang ramai sempena Aidilfitri serta cuti persekolahan, minggu hadapan.
Tambah beliau, sistem pemantauan bekalan sedia ada membolehkan sebarang peningkatan permintaan diurus dengan baik tanpa menjejaskan bekalan. – UTUSAN










