BUKIT MERTAJAM: Seorang pekerja taska dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan membunuh seorang bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah taska dalam kawasan Hospital Seberang Jaya (HSJ), hampir dua minggu yang lalu.
Tertuduh, Nur Farhana Fazmar Abdullah, 22, yang kelihatan sugul sepanjang berada di mahkamah hanya mengangguk tanda faham ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan memandangkan kes tersebut adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pembunuhan yang menyebabkan kematian bayi kepada Ummu Habibah Wahab, 29, di Taska Pintar Hospital Seberang Jaya antara pukul 1 pagi hingga 4 pagi pada 9 Mac lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau dipenjara antara tempoh 30 hingga 40 tahun. Selain itu, tertuduh juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika tidak dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh diwakili peguam, Muhaimin Hashim.
Mahkamah bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 23 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia.
Dalam pada itu, seorang lagi rakan tertuduh yang turut direman bagi membantu siasatan atas pertuduhan yang sama sebelum ini, bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000 dan akan bertindak sebagai saksi pendakwaan pada perbicaraan yang seterusnya.
Terdahulu, kedua-dua mereka tiba di pekarangan mahkamah di sini kira-kira pukul 8.45 pagi dengan diiringi oleh beberapa anggota polis dalam keadaan tangan yang bergari.
Dalam kejadian itu, bayi berkenaan, Hayl Haarith Mohd. Syafaeez dijumpai tidak sedarkan diri di taska terbabit sebelum dikejarkan ke hospital, namun, disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan.
Susulan kejadian itu juga, dua pekerja taska wanita telah ditahan bagi membantu siasatan manakala rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan insiden tersebut pula tular di media sosial.-UTUSAN










