Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh peranan sebagai pemangkin pembangunan masyarakat apabila menganjurkan Karnival STEM Sihat @ Membakut yang menghimpunkan pendidikan sains, teknologi dan kesedaran kesihatan dalam suasana pembelajaran interaktif.
Program anjuran U-Science UMS dengan kerjasama Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Hospital UMS (HUMS) serta Kelab
Robotik UMS itu memberi pendedahan awal kepada murid sekolah luar bandar terhadap dunia Sains Teknologi Kejuruteraan ndan Matematik (STEM) secara praktikal dan menyeronokkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, penganjuran karnival itu signifikan kerana menggabungkan dua elemen penting dalam pembangunan generasi masa hadapan iaitu penguasaan bidang bodan berkenaan serta amalan gaya hidup sihat.
“Pendekatan pembelajaran melalui eksperimen, pameran dan demonstrasi secara langsung bukan sahaja mampu menarik minat murid, malah membantu mereka memahami konsep sains dengan lebih mudah dan menyeronokkan.
“Dalam dunia yang semakin dipacu teknologi dan inovasi, penguasaan STEM bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan bagi melahirkan generasi yang berfikiran kritis, kreatif dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan karnival berkenaan yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Kampung Brunei, Membakut baru-baru ini
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politik Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Abd Wahid Abd Razak.
Mohd. Arifin berkata, aspek kesihatan tidak boleh dipinggirkan kerana ilmu sains berkait rapat dengan kehidupan seharian termasuk penjagaan kesihatan, pemakanan seimbang dan kesejahteraan diri.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Kasim Mansor berkata, penganjuran program berkenaan mencerminkan hubungan strategik kukuh antara universiti, sekolah dan komuniti dalam usaha memperkasa pendidikan serta memindahkan kepakaran saintifik kepada masyarakat.
“Karnival ini dirangka berasaskan pendekatan pembelajaran tidak formal yang interaktif, menyeronokkan dan berimpak tinggi bagi menarik minat murid terhadap bidang STEM.
“Ia juga selaras dengan pelaksanaan Kitaran 2 Program STI 100 di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang menekankan pemindahan ilmu dan kepakaran daripada universiti kepada masyarakat.
“Pendekatan yang menggabungkan pendidikan STEM dan elemen kesihatan mencerminkan usaha membangunkan insan secara holistik meliputi aspek intelek, jasmani dan kesejahteraan diri,” ujar Kasim.
Program itu turut membuka ruang kepada pelajar universiti dan pendidik berkongsi kepakaran serta inovasi dalam bidang STEM selain memperkukuh kerjasama antara institusi pengajian tinggi, sekolah dan komuniti setempat. -UTUSAN









