KUALA LUMPUR: Penyanyi yang juga ahli kumpulan Alpha, Ariel Fesol, menjelaskan hubungannya dengan pelakon, Erysha Emyra sekadar teman seperjuangan dalam industri seni.
Menurut Ariel, 28, dia tidak menafikan hubungan mereka agak rapat memandangkan pernah digandingkan menerusi drama Satu, Dua…Dia?.
“Sebenarnya spekulasi ini mula menjadi bualan ramai sejak saya digandingkan dengan dia (Erysha) dalam sebuah drama. Bagi saya, saya berkawan dengan semua orang.
“Memang tidak dinafikan kami agak rapat, tetapi itu kerana dia adalah heroin saya dalam drama tersebut. Jadi, keserasian itu memang perlu ada,” katanya.
Ariel berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program Raya anjuran Astro bagi tahun 2026 yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.
Tambahnya, buat masa ini dia mahu memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap kerjaya seni yang semakin mendapat perhatian sejak bersama kumpulan Alpha.
“Kami hanya berkawan. Tiada sebarang hubungan istimewa yang perlu saya ceritakan buat masa ini. Fokus utama saya sekarang adalah kepada kerjaya serta tanggungjawab saya bersama Alpha,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ariel menyifatkan tindakan peminat yang gemar menjodohkan mereka di media sosial sebagai satu lumrah, khususnya bagi pelakon yang berjaya menampilkan keserasian dalam sesebuah drama.
Katanya, dia tidak berkecil hati dengan usikan tersebut, malah gembira sekiranya ia mampu menghiburkan peminat.
“Bagi saya, itu perkara biasa. Mana-mana pelakon yang digandingkan bersama pasti akan ada peminat yang ‘shipping’ mereka. Kalau perkara itu membuatkan mereka gembira, saya juga tumpang gembira. Namun hakikatnya, kami tetap berkawan seperti biasa,” ujarnya.
Terdahulu, khabar angin mengenai dua selebriti itu bertebaran
Berkongsi perkembangan lain, Ariel berkata dia teruja apabila kumpulan Alpha tampil dengan dua lagu raya baharu berjudul Rindu Raya dan Raya Macam Raya yang merupakan kolaborasi bersama penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini. – UTUSAN.











