KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit, Rosyam Nor, 59, menyifatkan sikap datang lewat ke set penggambaran sebagai perbuatan kurang ajar, lebih-lebih lagi jika ia dilakukan secara berterusan tanpa alasan munasabah.
Menurutnya, tindakan tersebut menunjukkan seseorang pelakon tidak serius dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
Bagaimanapun, Rosyam berkata, dia tidak mudah menghukum seseorang secara melulu kerana setiap individu mungkin berdepan masalah tertentu yang menyebabkan mereka terlewat tiba di lokasi penggambaran.
“Kadang-kadang kita tidak tahu apa masalah yang dihadapi oleh pelakon itu. Mungkin dia berdepan sesuatu perkara, jadi kita terima sahaja.
“Pada zaman saya dahulu pun ada juga pelakon senior yang datang lewat. Bagi saya, itu antara rencah kehidupan dalam bidang lakonan.
“Namun, jika mereka sudah komited dengan kerja dan hanya sekali-sekala lewat kerana sebab munasabah, saya rasa tidak ada masalah. Tetapi kalau setiap hari datang lambat, itu sudah kurang ajar namanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana drama vertikal My Ramadan Love Story yang disiarkan menerusi platform penstriman P-Circle di Courtyard by Marriott Kuala Lumpur South, baru-baru ini.
Sebagai artis senior, Rosyam berkata, sepanjang hampir empat dekad berada dalam industri seni tanah air, beliau telah menyaksikan sendiri bagaimana pelakon yang gagal menjaga disiplin akhirnya sukar bertahan lama.
“Bagi mereka yang sering datang lewat, mungkin hari ini mereka merasakan diri sangat diperlukan. Tetapi suatu hari nanti mungkin mereka tidak lagi diperlukan.
“Ketika itu, kalau baru hendak memperbetulkan disiplin, mungkin sudah terlambat. Perkara seperti ini banyak berlaku di depan mata saya.
“Kadang-kadang orang memilih seseorang pelakon bukan semata-mata kerana lakonannya hebat, tetapi kerana disiplin yang ditunjukkan,” katanya.
Rosyam berkata, antara faktor yang membolehkan namanya kekal relevan dalam industri sehingga hari ini adalah disiplin yang dipegang sejak awal pembabitannya dalam dunia lakonan.
“Saya sendiri tidak pernah datang lewat. Bukan apa, saya anggap ini rezeki yang Allah berikan. Bila sudah diberikan rezeki, kita kena jaga.
“Kalau benar-benar lambat kerana jalan sesak atau ada masalah, beritahulah kepada pihak produksi. Tetapi janganlah sampai lima jam lewat. Itu bukan lambat, itu sudah kurang ajar namanya,” katanya.
Terdahulu, pelakon Azhan Rani turut berkongsi pengalaman menegur seorang rakan pelakon yang datang lewat sehingga berjam-jam lamanya di set penggambaran. -UTUSAN










