JOHOR BAHRU: Jurugambar sambilan Utusan Malaysia, Baazlan Che Wan Ibrahim, 65, meninggal dunia di kediamannya di Taman Sri Stulang di sini, awal pagi tadi.
Anak Allahyarham, Che Wan Mahmud Al-Bakri berkata, dia dimaklumkan berhubung perkara itu selepas dihubungi ibu tirinya kira-kira pukul 7 pagi tadi.
“Saya dimaklumkan dia meninggal ketika tidur, ibu tiri cuba kejut untuk sahur tetapi dia tidak sedarkan diri. Paramedik yang tiba di rumahnya mengesahkan dia sudah meninggal dunia.
“Allahyarham tidak mempunyai sakit kronik, cuma sebelum ini ada kencing manis dan darah tinggi tetapi penyakit itu terkawal,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Che Wan Mahmud, dia perasan perubahan sikap Allahyarham sejak awal tahun lalu apabila kerap meluangkan masa bertemunya serta dua cucu berusia enam tahun dan lima bulan di Kuala Lumpur.
“Sejak awal tahun saya perasan sikapnya berlainan sedikit, dia kerap datang ke rumah saya di Kuala Lumpur untuk meluangkan masa bersama saya dan cucu-cucunya.
“Tidak sangka pula ini berlaku. Allahyarham sudah lama terlibat dalam industri media dan mempunyai ramai kenalan dalam bidang itu. Semoga Allah berikan balasan yang baik-baik untuk dia,” katanya.
Che Wan Mahmud berkata, jasad Allahyarham akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Chenor, Pahang untuk dikebumikan. – UTUSAN










