KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan mendapat sumbangan jutaan ringgit jika Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dilantik menjadi Perdana Menteri.
Menurut Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan II, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, pendakwaan akan bergantung kepada bukti dokumentari, keterangan terus dan keterangan mengikut keadaan dalam membuktikan kes mereka.
Sebelum ini, pihak pendakwaan memberitahu, mereka akan memanggil kira-kira 30 saksi termasuk bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Kami menyatakan bahawa wang berjuta-juta ringgit sememangnya tidak masuk ke dalam poket tertuduh (Muhyiddin) sendiri tetapi telah masuk ke dalam akaun sekutunya iaitu Bersatu yang mana tertuduh ialah Presiden pada waktu itu dan juga Perdana Menteri yang mempunyai kepentingan secara tidak langsung kepada projek Jana Wibawa ini.
“Kami akan juga menunjukkan Menteri Kewangan ketika itu hanya bertindak berdasarkan minit oleh tertuduh dan Menteri Kewangan tidak mendapat apa-apa keuntungan dalam membuat tindakan tersebut.
“(Malah) sekutu Menteri Kewangan ketika itu iaitu UMNO juga tidak mendapat apa-apa keuntungan. Keterangan-keterangan akan menunjukkan (jika) tidak kerana tertuduh menjadi Presiden Bersatu dan juga pada masa yang sama menjadi Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, parti Bersatu tidak akan mendapat sumbangan berjuta-juta ringgit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membaca ucapan pembukaan kes salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM232.5 juta yang dihadapi oleh Muhyiddin, 79.
Bekas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu didakwa di Mahkamah Sesyen pada 10 Mac 2023 sebelum kes itu dibenarkan untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan pada 16 Jun 2025.
Salah satu pertuduhan yang dikenakan terhadap Muhyiddin didakwa dilakukan antara hari pertama tertuduh mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kelapan iaitu antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.
Bagi empat pertuduhan membabitkan salah guna kedudukan, Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menyalahgunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232,500,000 bagi parti tersebut.
Suapan tersebut adalah daripada tiga buah syarikat serta seorang individu bernama Datuk Azman Yusoff.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya,
Sementara itu, bagi pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram, Muhyiddin menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank dan AmBank milik Bersatu. – UTUSAN










