JDT anggap pertembungan getir menentang Sanfrecce Hiroshima

JDT anggap pertembungan getir menentang Sanfrecce Hiroshima

XISCO Munoz bersama pemain tengah JDT, Natxo Insa pada sidang akhbar menjelang aksi pertama pusingan 16 ACLE menentang Sanfrecce Hiroshima di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di sini hari ini.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz akui pertembungan menentang Sanfrecce Hiroshima dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam esok sebagai perlawanan yang sengit.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu berkata, benteng pertahanan JDT bakal berdepan tugas getir untuk mengekang serangan bertali arus skuad bimbingan Bartosch Gaul yang bermain corak permainan tekanan tinggi.

Sehubungan itu katanya, JDT akan terus mengekalkan rentak corak permainan berintensiti tinggi bagi mematikan serangan pasukan lawan dalam masa sama cuba memburu gol awal seperti dilakukan dalam perlawanan terdahulu.

“Bermain di laman sendiri memberi kelebihan buat JDT namun itu tidak bermakna kita tidak diberikan tentangan hebat oleh pasukan lawan. Kita akan berusaha mencari keputusan positif sebagai bekalan untuk ke perlawanan seterusnya.

“Kita akui kualiti dimiliki pasukan lawan yang kerap melancar serangan di bahagian sayap selain berbahaya dalam situasi bola mati. Jadi amat penting untuk memastikan gawang tidak dibolosi, statistik juga menunjukkan keampuhan benteng JDT semakin kemas dalam setiap perlawanan,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan ACLE menentang Sanfrecce Hiroshima di Stadium Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Dalam pertembungan terdahulu, JDT tewas 1-2 kepada Sanfrecce Hiroshima dalam aksi Kumpulan Zon Timur ACLE, pada 10 Februari lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN